Setelah muncul secara senyap dalam laman web rasmi mereka, kini Kia Malaysia mengumumkan model Optima GT facelift telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga RM169,888 tidak termasuk insurans. Beberapa perubahan gaya dan peningkatan dilakukan pada model ini, tetapi ia masih mengekalkan penggunaan enjin petrol 2.0L turbo T-GDI berkuasa 245 PS dan 353 Nm tork bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

Pada aspek rekaan, Optima GT mendapat gril baru yang menampilkan corak berbentuk V di dalamnya, bersama bampar dengan bukaan udara lebih besar di bucu, serta jalur LED yang bertindak sebagai lampu kabus di penjuru bampar tersebut.

Di belakang pula, lampu kombinasi LED yang digunakan kini mempunyai grafik baru, manakala diffuser serta pemantul cahaya pada bamparnya diletakkan lebih tinggi. Rim masih lagi sama iaitu unit 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 235/45.

Kebanyakan bahagian dalam kenderaan ini juga masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan perubahan paling jelas adalah pada roda stereng, skrin sesentuh tujuh inci dengan sistem kamera around view monitor dan lampu suasana yang terdapat di sekeliling papan pemuka dan pintu.

Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah panel instrumen 4.3 inci, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, pedal penukar gear, penghadang cahaya matahari belakang, tempat duduk berliang, pengecas tanpa wayar, Smart Shift & Drive serta brek tangan elektronik.

Pelanggan juga boleh memilih enam warna untuk bahagian luar Optima GT baru ini iaitu Snow White Pearl, Aurora Black, Gravity Blue, serta dua warna baru Silky Silver dan Platinum Graphite. Kenderaan ini datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan secara standard.