Nissan Teana facelift baru sahaja dilancarkan di Thailand, dan ini berlaku lima tahun selepas sedan segmen D generasi ketiga ini pertama kali diperkenalkan di sana. Model facelift ini sebenarnya adalah sama dengan Altima yang dijual di Amerika Syarikat, yang telah diperkenalkan tiga tahun lalu.

Melalui model facelift ini, Teana mendapat muka hadapan yang sama dengan Altima, termasuk gril V-motion serta lampu utama berbentuk seperti boomerang dan lampu siang LED. Walaubagaimanapun, bahagian belakang masih kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi lampu belakangnya dijadikan lebih lebar, bersama bampar yang disegarkan semula. Rimnya kini berukuran 18 inci dan datang dalam warna dua tona.

Rekaan dalam tidak diubah, tetapi Nissan telah memasang sistem memori pada tempat duduk Teana semua varian kecuali 2.0XE yang paling asas. Enjin juga masih sama, iaitu unit empat silinder NA MR20DE 2.0 liter dengan kuasa 136 PS pada 5,600 rpm dan 190 Nm tork pada 4,400 rpm, serta enjin empat silinder 2.5 liter QR25DE dengan kuasa 173 PS pada 6,000 rpm dan 234 Nm tork pada 4,000 rpm. Kedua-duanya menggunakan transmisi XTronic CVT.

Untuk aspek keselamatan, Teana varian 2.0XL, 2.0XL Navi dan 2.5XV Navi mempunyai Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Around View Monitor 360 darjah dengan pengesan objek bergerak sebagai tambahan kepada enam beg udara, ABS, EBD, BA dan Stability Control yang merupakan ciri standard.

Harga untuk Teana facelift ini di Thailand bermula 1,336,000 baht (RM169,200) iaitu untuk varian 2.0XE, diikuti 1,426,000 baht (RM180,600) untuk 2.0XL, 1,476,000 baht (RM186,900) untuk 2.0XL Navi dengan sistem navigasi skrin sesentuh tujuh inci dan 1,674,000 baht (RM212,000) untuk varian 2.5XV Navi paling tinggi.