Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

Selepas angka jualannya dilihat menurun pada September, Proton mengumumkan prestasi mereka mula naik semula pada Oktober. Jenama automotif nasional berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,093 unit kenderaan bulan lalu, atau peningkatan 12.6% (569 unit) berbanding bulan sebelumnya. Pegangan pasaran bagi peratusan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 10.7%, seiring dengan purata angka untuk tahun ini.

Menurut Proton, peningkatan ini adalah didorong oleh polisi harga menarik yang ditawarkan. Pembeli dapat menikmati harga tanpa SST di mana mereka telah menyerap cukai tersebut untuk semua modelnya – bermakna tiada perubahan harga walaupun tempoh GST berkadar sifar telah berakhir dan penguatkuasaan SST pada bulan September yang lalu.

“Bagi dua bulan yang terakhir untuk tahun 2018, kami menawarkan rebat sebanyak RM3,000 serta akan merancakkan lagi aktiviti jelajah dan karnival-karnival untuk memastikan kami dapat mendekati lebih ramai pembeli-pembeli di Malaysia,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Proton juga melihat pengenalan terhadap model SUV pertamanya, X70 turut diletakkan dengan harapan pasaran yang sangat tinggi. Oleh itu, Proton mengambil pelbagai langkah demi memastikan SUV baharu tersebut dapat memenuhi keperluan pelanggannya. Sebagai contoh, latihan produk kepada semua kakitangan telah diperhebatkan melalui ujian yang diadakan secara rambang untuk memastikan pengetahuan produk yang tepat. Dari segi teknikal, pelaburan bagi peralatan dan kelengkapan baharu pusat servis yang diiktiraf juga dilakukan dengan tambahan ruang untuk memenuhi sekiranya terdapat lebihan permintaan.

Proton jual 5,093 unit kereta pada Oktober, naik 12.6%

“Proton bersyukur atas sokongan tempahan yang telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia walaupun model Proton X70 tersebut tidak dipamerkan lagi di bilik pameran kami. Ini adalah model yang paling maju dalam rangkaian kami, dilengkapi dengan ciri-ciri baharu yang tidak pernah ada lagi dalam kereta Proton, jadi kejayaan model ini adalah amat penting dalam usaha menaikkan semula jenama kami. Oleh itu, pelaburan besar sedang dilakukan untuk memastikan kami dapat mencapai matlamat kami.”

“Dengan pembukaan cawangan 3S/4S, latihan untuk kakitangan, pembinaan kilang baharu di Tanjung Malim serta kerjasama antara pembekal tempatan dan antarabangsa, kami memastikan persediaan awal yang sempurna. Malangnya, persediaan terperinci ini mengambil masa yang lama, jadi kami meminta pelanggan agar bersabar dan memberi sedikit masa lagi. Penantian kini hampir berakhir,” kata Abdul Rashid.

Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, Proton X70 dilihat menerima sambutan baik apabila jumlah tempahan diumumkan sudah mencecah angka 10,000 unit. Ini berikutan pembukaan tempahan bermula 8 September lalu di semua wakil pengedar jenama itu dan juga melalui atas talian dari 17 Oktober lalu.

Daripada 10,000 unit tempahan itu, 2,000 daripadanya dibuat melalui laman web mikro X70, yang memerlukan pelanggan membayar cuma RM99, manakala selebihnya adalah daripada pusat pameran, di mana pelanggan perlu membayar deposit RM1,000.

Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

Antara kelengkapan bagi varian paling tinggi adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa, bumbung panoramik, skrin sesentuh 8.0 inci dan sistem infotainmen GKUI. Semua varian akan dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara secara standard, tetapi varian Premium 2WD akan mendapat tambahan Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan kawalan lampu tinggi pintar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required