Harley-Davidson telah beralih arah daripada enjin V-twin yang biasa digunakan kepada motor elektrik pada model Livewire. Ia telah ditunjukkan kepada umum sejak beberapa tahun yang lepas tetapi kini akhirnya keputusan telah dibuat untuk memasarkannya kepada orang awam, bermula Januari tahun hadapan.

Meskipun begitu, H-D masih tidak mahu menunjukkan kuasa sebenar motor elektrik yang digunakan pada Livewire dan sekadar memberitahu ia dapat memberikan pengendalian yang baik pada semua kelajuan, dengan prestasi dan jarak penggunaan yang disasarkan kepada penggunaan di bandar. Motor itu pula mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion yang disimpan dalam perumah aluminium.

Satu lagi bateri lithium-ion 12V diletakkan pada motosikal ini untuk memberi kuasa kepada kelengkapan elektrik lain seperti lampu, butang kawalan, hon dan panel instrumen. Pengecasan bateri penggerak Livewire ini boleh dilakukan menggunakan pengecas Level 1 yang diletakkan di bawah tempat duduk, pengecas Level 2 ataupun pengecas pantas Level 3 DCFC.

Penggayaan Livewire ini lebih kepada motosikal biasa dan bukannya seperti cruiser H-D yang lain, dengan bentuk badan yang hampir seperti Sportster. Suspensi hadapannya menggunakan fork Showa SFF-BP, belakang menggunakan monoshock Showa BFRC manakala brek pula adalah daripada Brembo dengan unit cakera berkembar 300 mm serta angkup Brembo.

Turut diberikan standard pada Livewire 2019 adalah skrin sesentuh TFT-LCD berwarna penuh untuk paparan instrumen dan informasi lain, dan ia boleh dilaraskan pada sudut tertentu untuk mengikut kesesuaian pandangan penunggang. Pada aspek keselamatan, motosikal elektrik ini dilengkapi dengan ABS dan Traction Control secara standard, dan mempunyai tujuh mod tunggangan.