Tahun lepas, pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM telah menunjukkan satu model konsep adventure dipanggil 790 Adventure, yang menggunakan asas sama dengan Duke 790. Kini ia sudah bersedia untuk dikeluarkan sebagai model pasaran awam dan dipertontonkan sewaktu pameran EICMA yang sedang berlangsung sekarang.

Ada dua model diperkenalkan iaitu 790 Adventure biasa dan 790 Adventure R. Kedua-duanya menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 799 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 95 hp.

Kelebihan lain enjin berkenaan ialah selang servis yang lebih panjang iaitu 15,000 km dan ia dilengkapi dengan batang pengimbang yang dapat mengurangkan gegaran. Bahagian head enjin ini mempunyai lapan injap manakala penapis udaranya pula diletakkan di bawah tempat duduk dan lebih mudah ditanggalkan untuk servis.

Kelengkapan lain yang ada pada 790 Adventure adalah termasuk brek cakera hadapan berkembar 320 mm dengan angkup empat piston, brek cakera 260 mm dengan angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 20 liter, tempat duduk yang boleh dilaras, ABS, Motorcycle Traction Control, pilihan mod tunggangan serta panel instrumen TFT warna penuh berukuran lima inci.

Suspensi dan saiz rim untuk kedua-dua model adalah sama iaitu daripada WP dengan hanya pelarasan pra beban di belakang serta padanan rim jejari 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi model R mempunyai jarak gerak suspensi yang lebih panjang (+40 mm) menjadi 240 mm di depan dan belakang. Penghadang angin hadapan model R juga lebih rendah dan didatangkan dengan tayar Metzeler Karoo 3 berbunga lebih kasar (versi standard menggunakan tayar Avon Trailrider).