Bermula pada tahun 2011, BMW telah menyertai segmen skuter dengan penawaran C 600 Sport dan C 650 GT, kemudiannya diikuti pula C 400 X yang diperkenalkan pada tahun 2017. Terbaru, syarikat dari Jerman itu memperkenalkan pula C 400 GT (Gran Turismo) yang diterapkan dengan lebih kemampuan untuk perjalanan jarak jauh dan lebih selesa.

Asasnya sama sahaja dengan C 400 X termasuklah enjin, menggunakan unit satu silinder 350 cc yang berkemampuan 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm, dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Menurut BMW, enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api ini telah dioptimakan untuk penggunaan bahan api lebih baik dan disambungkan dengan Automatic Stability Control (ASC) bagi meningkatkan keselamatan waktu memecut, terutamanya atas jalan licin.

Di sebalik panel badan yang kelihatan dinamik ini, C 400 GT menggunakan kerangka besi berbentuk bulat manakala suspensi pula adalah unit fork teleskopik 35 mm di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek menggunakan set cakera berkembar 265 mm di hadapan dan unit tunggal di belakang, siap dengan sistem ABS two-channel.

Sebagai sebuah skuter, C 400 GT menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna yang termasuk ruang simpanan luas bawah tempat duduk dan bawah pemegang, perlindungan daripada angin yang telah dipertingkat, penyandar belakang badan untuk penunggang serta panel instrumen TFT 6.5 inci warna penuh yang boleh memaparkan pelbagai informasi.

Barangan standard lain yang diberikan pada C 400 GT adalah termasuk sistem Keyless Ride, lampu LED, tangki bahan api 12.8 liter serta padanan rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 203 kg dan ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Alpine White dan Moonwalk Grey