Perodua telah melakar satu lagi kejayaan besar dengan mencapai 500,000 penghasilan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan dijual di Malaysia, sekaligus memperkukuhkan lagi statusnya sebagai syarikat EVV terunggul negara.

“Saya dengan rendah diri ingin mengumumkan bahawa sejak pelancarannya masing-masing, sebanyak 342,600 unit Axia, 130,000 unit Bezza dan lebih 75,000 unit Myvi baharu telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Sejak kerajaan memperkenalkan klasifikasi EEV dalam Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), lebih daripada 344,000 unit Axia, 130,800 unit Bezza dan 75,800 unit Myvi baharu telah dikeluarkan oleh Perodua di Sungai Choh.

Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesuatu kenderaan harus mencapai atau menjangkaui kecekapan bahan api (diuji mengikut piawaian UNECE R101) yang tertentu berdasarkan beratnya tanpa muatan. Axia, Bezza dan Myvi baharu kesemuanya mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.

Tidak terhad kepada produk, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.

“Kecekapan bahan api kenderaan kami menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api. Lebih-lebih lagi, kenderaan kami mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” sambung Aminar lagi.

Menurut Aminar, dengan gabungan ciri-ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikaliti, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini, Perodua berusaha untuk menyediakan pakej mobiliti bernilai untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

“Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda. Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” tambahnya.