Pengedar motosikal Yamaha di Indonesia telah memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran di sana, dikenali sebagai FreeGo. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu FreeGo, FreeGo S dan FreeGo S ABS dengan harga masing-masing 18.5 juta Rupiah (RM5,200), 19.7 juta Rupiah (RM5,500) dan 22.5 juta Rupiah (RM6,300).

FreeGo dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 125 cc BlueCore, dan ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Ini adalah enjin suntikan bahan api dan ia dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

Istimewanya skuter baru ini adalah ia mempunyai ruang simpanan bawah tempat duduk yang lebih besar daripada NMax, iaitu berkapasiti 25 liter, tetapi tangki bahan apinya masih lagi lebih kecil daripada NMax iaitu 4.2 liter (NMax berkapasiti 6.6 liter).

Muncung tempat mengisi bahan api FreeGo ini terletak di hadapan (bawah bahagian pemegang), dan ia turut dilengkapi dengan barangan lain seperti meter jenis digital, pemula enjin elektrik dan tendang, rim tanpa tiub 12 inci (tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang), soket pengecas 12V, lampu hadapan LED, brek cakera di hadapan dan sistem Start/Stop yang menggunakan Smart Motor Generator.

Apabila mendapatkan model FreeGo S, pemilik akan diberikan tambahan sistem tanpa kunci berserta ciri panggilan balik yang tiada pada model paling asas FreeGo, dan apabila memilih FreeGo S ABS pula, ia akan ditambah dengan sistem brek ABS one-channel.