Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menurut Dr Mahathir, kemudahan itu yang akan bermula di Lembah Klang pada 1 Jan 2019, turut akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang, laporan Bernama.

“Sebagai percubaan kita akan mula di Kuala Lumpur supaya kita dapat tahu sekiranya ada kelemahan untuk diperbetulkan. Ini yang menjadi pemikiran Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran pas My100 dan My50 di KL Sentral, hari ini.

Tambah beliau lagi, pengenalan pas perjalanan itu juga sebagai inisiatif kerajaan ke arah mengalakkan budaya sistem transaksi tanpa wang (cashless society) yang antara lain dapat mengekang gejala rasuah.

Cash ni selalunya rasuah tapi cashless susah kita nak sogok rasuah kerana setiap perjalanan akan direkod supaya kita dapat tahu siapa yang menerima dan memberi. Kalau rasuah berleluasa di negara kita, apa juga kerja akan jadi mahal sebab perlu bayar kepada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan sesuatu permintaan,” katanya.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata seperti janji manifestonya Pakatan Harapan sentiasa berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat dan kerajaan terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak untuk penambahbaikan atau cadangan.

Langganan boleh dibuat menggunakan MyKad, MyKid dan MyTentera di kiosk dan fungsi Touch and Go bagi memastikan perkhidmatan itu hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Menerusi pas My100, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk Transit Aliran Massa ( MRT), LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.

Bagi pas My50 pula, penumpang boleh menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT (tidak termasuk BRT) tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.

Pada majlis pelancaran itu, 10 atlet dilantik sebagai duta untuk mempromosi penggunaan pas perjalanan itu. Mereka ialah Datuk Nicol Ann David (skuasy), Cheong Jun Hoong (terjun), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (atlet paralimpik), Goh Liu Ying (badminton), Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (boling), Leong Mun Yee (terjun), Syakilla Salni Jefry Krisnan (karate), Welson Sim Wee Sheng (renang), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan Julian Yee Zhi-Jie (figure skating).

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pas perjalanan tanpa had itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 45% pengguna perkhidmatan Rapid Rail dan hampir 100% pengguna Rapid Bus di Lembah Klang.

“Pengenalan pas perjalanan ini juga dijangka berupaya menarik sebahagian daripada pemandu kenderaan persendirian untuk berpindah ke pengangkutan awam, seterusnya membantu mengurangkan kesesakan terutama di pusat bandar Kuala Lumpur,” ujarnya.