Chevrolet telah mendedahkan rupa luaran trak bersaiz penuh generasi baharunya iaitu Silverado HD 2020. Model ini akan membuat kemunculan sulung pada bulan Februari 2019, dan menurut Chevy, ini adalah model Silverado serba baharu ketiga hanya dalam masa 18-bulan, di mana kesemuanya di reka dengan kemampuan berbeza berdasarkan permintaan pelanggan yang berbeza.

“Kami tahu keperluan dan keutamaan pelanggan tugas-berat adalah berbeza dengan dari pelanggan tugas-ringan dan tugas-sederhana. Jadi, kami hasilkan trak tugas berat yang direka khas untuk mereka yang banyak berbeza berbanding model tugas-ringan sebelum ini, menawarkan teknologi tundaan bagi menambahbaik keyakinan untuk menunda dan termasuk ciri-ciri bahru seperti pemijak kaki sisi, bagi memudahkan bed diakses ketika sedang menarik treler.” kata ketua jurutera Silverado HD, Jaclyn McQuaid.

Menurut Chevrolet, model HD ini direka bukan sahaja lebih agresif, malah ia dihasilkan bagi memudahkan ia melakukan tugas-tugas lebih berat dari Silverado lain. Jenama tersebut turut menjelaskan bahawa Silverado HD hanya berkongsi bumbung dengan model Silverado 1500 untuk bahagian luaran, manakala bahagian lain adalah unik hanya untuknya.

Muka Silverado HD berkenaan direka lebih garang berbanding model sebelumnya, menampilkan gril besar yang dibahagi kepada dua bahagian, dipisahkan dengan bar krom yang turut menempatkan perkataan ‘CHEVROLET’. Bar berkenaan turut memisahkan lampu yang mungkin adalah lampu nyalaan siang pada bahagian atas dengan lampu utama di bahagian bawah.

Trak ini juga diberikan bampar hadapan dengan elemen krom yang banyak bagi menampakkannya seperti trak era 80’an, bersama penutup bonet enjin yang menerima skup besar seakan muscle car Amerika.

Pemijak kaki yang disebutkan tadi ditempatkan pada bahagian tepi bed bagi membolehkan bed diakses sekiranya ada halangan pada pintu tailgate. Manakala di belakang, bampar turut menerima elemen krom seperti hadapan, bersama lampu belakang yang direka tidak jauh beza dari model sebelumnya. Tip ekzos dengan corong bersaiz agak besar turut kelihatan di bawah bampar.

Chevrolet di menyiarkan gambar dalaman untuk versi HD ini, namun menurut mereka ia menerima sebahagian besar ciri dari Silverado 1500, termasuk ruang lutut yang ditambah tiga-inci bagi model crew cab, serta lebih tinggi bersama posisi duduk yang lebih selesa.

Dua pilihan janakuasa diberikan untuk model HD ini iaitu enjin petrol baharu dengan sistem suntikan bahan api terus (tidak dinyatakan sesaran mahupun kuasa yang dihasilkan) digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan, dan versi turbodiesel dengan enjin Duramax V8 menjana tork gergasi 1234 Nm bersama kotak gear Allison 10-kelajuan.

Menurut Chevrolet lagi, Silverado HD 2020 ini turut akan menampilkan teknologi trailering yang difokuskan kepada pelanggan, yang bakal meningkatkan kebolehan menunda dan membawa beban secara signifikant serta pelbagai teknologi dan ciri-ciri direka khas untuk pelanggan tugas-berat.

Trak saiz penuh ini akan di bina dikilang pemasangan GM di Flint, Michigan, dan bakal masuk kepasaran Amerika Syarikat bermula pertengahan tahun hadapan. Lebih perincian akan diumumkan oleh Chevrolet pada masa akan datang.