Mercedes-Benz Malaysia kini melancarkan perkhidmatan Mercedes-Benz Star Mobile, untuk membolehkan pelanggan melakukan penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan mereka dirumah atau pejabat, tanpa perlu hadir ke pusat servis. Ia merupakan program ujian yang diusahakan oleh Cycle & Carriage Bintang untuk pelanggan di Lembah Klang.

Semua perkhidmatan ini ditawarkan melalui aplikasi pintar Star Mobile, termasuk servis kenderaan berjadual, penukaran pengilap cermin, ganti bateri dan bateri kunci. Perkhidmatan ini menggunakan van Mercedes-Benz Vito, dengan dua petugas bertauliah serta dilengkapi dengan sistem diagnostik Xentry serta peralatan khusus untuk melakukan baik pulih dan kerja-kerja penyelenggaraan di luar.

Pelanggan boleh menentukan jadual temujanji untuk Star Mobile melalui mana-mana cawangan pengedar Cycle & Carriage berdekatan, dan syarikat akan memansuhkan surcaj RM250 untuk tiga bulan pertama. Ia juga akan menyediakan anggaran kos – termasuk bagi alat ganti dan buruh – lebih awal untuk memudahkan pelanggan membuat keputusan.

“Pelanggan sangat penting untuk kami, dan kami akan beterusan memahami setiap keperluan mereka yang berbeza. Mercedes-Benz Star Mobile adalah satu contoh terbaik sebuah perkhidmatan premium yang disediakan untuk memberikan kepuasan dan kelegaan kepada pengguna untuk menjaga keadaan semasa kenderaan mereka,” ujar CEO Cycle & Carriage Bintang, Wilfrid Foo.

Perkhidmatan ini beroperasi setiap hari kecuali cuti umum, dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam (Isnin-Jumaat) manakala 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari (Sabtu & Ahad).