Ada seperkara lagi yang menarik tentang pelancaran rasmi dan pengumuman harga bagi model SUV pertama Proton X70 yang baru saja berlangsung. Seperti yang ramai sudah sedia maklum, harga rasmi telah pun diumumkan, bermula dari RM99,800 hingga RM123,800.

Pada kebiasaannya, harga yang diumumkan itu merujuk kepada harga jualan di Semenanjung Malaysia sahaja. Bagi pelanggan di Sabah dan Sarawak, ia akan menjadi lebih tinggi, oleh kerana faktor pengangkutan dan logistik lainnya. Tetapi kini tidak lagi; Proton X70 akan dijual pada satu harga yang sama di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.

Proton X70 ditawarkan dalam empat varian, dengan model paling asas, Standard 2WD (RM99,800), Executive 2WD (RM109,800), Executive 4WD (RM115,800) dan Premium 2WD (RM123,800). Menarik juga untuk melihat perbezaan antara model ini dengan “raja” SUV segmen C di Malaysia untuk sekian lama, Honda CR-V.

Sebagai contoh, di Semenanjung, Honda CR-V 2.0 dijual pada harga RM138,308 tetapi di Sabah dan Sarawak, harganya ialah RM139,212. Bezanya mungkin tidak banyak, tetapi untuk Proton X70 menawarkan satu harga yang setara bagi seluruh Malaysia merupakan satu langkah yang bermakna.

Ikuti juga laporan kami berkaitan pelancaran rasmi Proton X70; ketika ini merupakan unit CBU dari China, dengan model CKD akan diperkenalkan tahun hadapan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan perincian bagi setiap varian, baca juga laporan pecahan penawaran bagi setiap varian.

GALERI: Proton X70 Executive 2WD

GALERI: Proton X70 Executive AWD

GALERI: Proton X70 Premium 2WD