Volkswagen lakukan restorasi percuma untuk sebuah Beetle keluaran 1966 milik wanita berumur 73 tahun

Volkswagen lakukan restorasi percuma untuk sebuah Beetle keluaran 1966 milik wanita berumur 73 tahun

Ketika Adolf Hitler merancang untuk menghasilkan kereta bagi kegunaan rakyatnya dahulu, beliau menetapkan bahawa kereta tersebut perlu ringkas, tahan lasak, mudah dihasilkan dalam produksi yang besar dan murah – idea tersebut telah direalisasikan oleh ketua jurutera projek berkenaan iaitu Ferdinand Porsche dengan menghasilkan Volkswagen Beetle.

Sejauh mana kejayaan projek tersebut? Seperti yang anda boleh lihat sekarang, terdapat banyak lagi Beetle yang masih merayap di atas jalan seluruh dunia walaupun produksi pertamanya sudah bermula pada tahun 1938. Produksi Beetle ini juga hanya dihentikan pada tahun 2003 dengan jumlah keseluruhan yang dihasilkan sebanyak 21,529,464 unit, membolehkan ia diiktiraf sebagai kereta paling lama dibuat menggunakan satu platform yang sama.

Salah satu dari Beetle berkenaan telah dibeli oleh Kathleen Brooks dari Califronia, Amerika Syarikat. Kereta tersebut dibeli baru pada Disember 1966 di Riverside dan kemudian Beetle yang diberi nama “Annie” itu terus dipandu oleh Brooks sehingga hari ini. Tahun ini, Brooks telah pun berumur 73 tahun, sementara Annie pula 51 tahun dengan catatan perbatuan mencecah 350,000 batu atau 563,270 km, namun kedua-duanya masih setia antara satu sama lain untuk mengharungi kehidupan bersama.

Apa yang lebih mengharukan, Annie dipandu Brooks setiap hari ke tempat kerja di mana dia bertugas untuk memberikan keselesaan dan penjagaan kosmetik kepada pesakit barah payudara, di mana dia sendiri sebenarnya sudah tiga kali bertarung dengan penyakit yang sama. Kisah Brooks dan Annie ini sampai ke telinga Volkswagen sendiri, dan jenama dari Jerman tersebut bersetuju untuk merestorasi semula Annie, secara percuma.

“Sudah banyak kali saya katakan yang dia (Annie) dan saya banyak persamaan kerana dia sudah tua, dia sudah pudar, dia sudah kemek, dia sudah berkarat, tapi anda tahu tak? Dia masih lagi berjalan. Dan selagi saya menjaga dia dengan sebaiknya, dia akn terus berjalan,” kata Brooks kepada Volkswagen.

Proses baikpulih Annie ini bukan dilakukan di bengkel biasa, sebaliknya ia di bawa semula ke kilang yang menghasilkannya dahulu, terletak di Puebla, Mexico. Menurut Volkswagen, proses restorasi Annie ini bukan disasarkan untuk menjadikannya seperti sebuah kereta yang hendak diletakkan sebagai pameran di muzium dengan komponen-komponen asli dari tahun yang dihasilkkan, sebaliknya akan dilakukan dengan konsep resto-mod iaitu baik pulih bagi membolehkan kereta itu dipandu dengan lebih relevan pada masa sekarang dan memastikan ia akan terus dipandu dalam tempoh masa selama yang mungkin.

Kerja-kerja restorasi Annie ini telah berjalan selama 11 bulan, dilakukan oleh seramai 60 orang pekerja. Volkwagen menyatakan bahawa 357 komponen telah direstorasi semula, mankala 40% komponen lain telah ditukar. Selain menjalankan baikpulih terhadap casis, badan dan juga sistem pendawaian, Volkswagen menggantikan sistem brek dram kepada brek cakera, suspensi yang ditingkat taraf, enjin yang dirombak rawat dan dilengkapkan dengan peralatan lebih moden.

Badan kereta ini menerima cat merah baharu tetapi masih menggunakan kod merah yang sama pada warna asal. Bahagian bumbung kini telah dilengkapkan dengan rak manakala kesemua tayar menerima ‘white wall‘, membolehkan Annie nampak lebih ranggi. Setiap pelekat yang telah di lekatkan oleh Brooks kepada Annie turut ditampal semula bagi mengekalkan kenangan antara tuan dan kereta tersebut.

Pada bahagian kabin, papan pemuka dan panel-panel logam turut menerima cat baharu sama seperti warna badan. Ia menerima upholsteri baharu bersama sulaman nama “Kathleen” dan “Annie” pada tempat duduk hadapan. Volkswagen turut memberikan radio baharu untuk Annie bagi menggantikan sistem stereo lama.

Annie baharu sahaja dipulangkan kepada Brooks setelah semua kerja-kerja restorasinya lengkap. Ia secara tidak langsung menjadi hadiah Krismas untuk Brooks dan Annie dapat dipandu dengan lebih selesa ketika cuti perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ sebelum direstorasi

GALERI: Proses restorasi Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’

GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ setelah siap direstorasi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required