Bagi menjayakan projek kereta nasional ketiga, Malaysia akan cuba mencari pelaburan termasuk dari negara luar, malah turut menawarkan kepada Qatar berikutan keupayaan negara itu yang dilaporkan mempunyai sejumlah AS$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk tujuan pelaburan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, jumlah berkenaan adalah jumlah keseluruhan wang dimiliki Qatar yang akan digunakan untuk tujuan pelaburan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang, laporan Berita Harian.

“Qatar ada sebanyak AS$400 bilion, untuk dilaburkan di seluruh dunia, dia (Qatar) ada banyak duit, dia mahu laburkan dan kita mahu cari jalan supaya Qatar labur di Malaysia. Antara projek yang kita mahu tawarkan untuk dia laburkan adalah projek kereta Malaysia yang ketiga, yang pentingnya Qatar kena ada projeklah untuk dia laburkan dan kita perlu usahakan supaya dia dapat laburkan dalam projek itu (kereta nasional ketiga),” katanya.

Tambahnya lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ada berbincang dengan Qatar mengenai cadangan pelaburan untuk projek berkenaan.

“Dr Mahathir cakap dengan orang Qatar, kamu ada duit, kami ada kepakaran. Dalam Kabinet kita dah letak syarat nak buat kereta nasional ketiga jangan guna duit kerajaan, kerajaan tak ada duit. Tapi kalau inisiatif swasta, apa salahnya? Qatar nak buka kilang buat kereta di Malaysia, guna kepakaran Malaysia, duit daripada dia takkan kita nak bantah? Kalau dia boleh buat apa salahnya, lagi banyak pekerjaan,” katanya.

Khalid berkata, apa yang menjadi keutamaan pada masa ini adalah untuk mencari projek yang boleh menarik perhatian pihak berkenaan melabur di negara ini.