Hyundai telah membuat penyusunan semula organisasi mereka dan apa yang menarik Albert Biermann yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai N, kini diberikan jawatan sebagai ketua pembangunan kumpulan, lapor Reuters.

Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan divisi prestasi tinggi BMW M adalah orangnya disebalik penghasilan sedan sport Kia Stinger dan model-model berprestasi tinggi lain seperti Hyundai i30 N dan Veloster N. Dengan menggalas tugas baharu tersebut dan menggantikan Yang Woong-chul dan Kwon Moon-sik, ini bermakna Biermann adalah ketua R&D pertama Hyundai yang bukan berbangsa Korea.

Selain Biermann, 17-orang eksekutif Hyundai yang lain turut terlibat dalam penstrukturan semula organisasi syarikat berkenaan. Ia termasuk Euisun Chung yang kini dinaikkan sebagai naib pengerusi eksekutif Hyundai Motor, manakala ayahnya Mong-Koo Chung kekal sebagai pengerusi kumpulan tersebut. Laporan yang sama turut menyatakan bahawa langkah ini diambil bagi menyelesaikan masalah keuntungan yang merudum akibat panggilan-panggilan semula di Amerika Syarikat serta jualan lemah di pasaran tersebut dan juga China.

Kehadiran Biermann sebagai orang asing ke dalam kumpulan organisasi yang di dominasi oleh rakyat Korea tersebut sebenarnya di bawa oleh Euisun Chung. Oktober lalu, bekas eksekutif BMW Thomas Schemera turut di bawa masuk untuk mengetuai unit perancang produk bagi kereta pemanduan sendiri, manakala bekas ketua pereka Bentley, Luc Donckerwolke dilantik ke jawatan sama untuk Hyundai dan Kia bagi menggantikan tempat Peter Schreyer.

Laporan tersebut turut menyatakan kenaikan pangkat Euisun Chung ini, naib pengerusi Hyundai Motor telah dipindahkan ke Hyundai Steel, dan pengaruh Mong-Koo Chung dapat dikurangkan. Penstrukturan semula ini adalah “salah satu langkah perubahan generasi yang tekankan oleh Euisun Chung,” kata sumber yang rapat dengan perkara tersebut.

Harga saham Hyundai meningkat sebanyak 9% selepas langkah tersebut diambil, manakala saham anak-anak syarikatnya yang lain seperti Hyundai Mobis, Hyundai Wia dan Hyundai Glovis turut mencatatkan kenaikan. Menurut penganalisis, harga saham-saham tersebut naik mungkin disebabkan perubahan yang dilakukan terhadap barisan ketua syarikat, dan secara lebih spesifik kerana Euisun Chung sedang menunjukkan perkembangan dalam rancangan penstrukturan semulanya selepas usaha sebelum itu mendapat bantahan dari dana terhad Amerika Syarikat, Elliot.