Model konsep Daihatsu Copen Coupe yang pernah dipertontonkan di Tokyo Auto Salon 2016 kini telah pun berada di pasaran, dengan hanya 200 unit sahaja yang diproduksikan.

Coupe ini yang dibangun berdasarkan model Copen Cero iaitu versi roadster yang mengingatkan pada Copen original, dilengkapi dengan bumbung gentian karbon hardtop boleh lipat dengan penukaran bagi panel badan boleh tanggal Dress-Formation pada model standard. Malah bahagian belakangnya yang kecil kini menjadi sebahagian daripada bumbung dan turut memberikan akses untuk but.

Ia juga didatangkan dengan cermin hadapan anti-kabus, dengan lapisan eXeview buatan AGC. Beberapa pilihan bagi Coupe biasa turut diberikan secara standard, termasuk roda aloi BBS 16-inci, roda stereng Momo (dengan padanan penukar pedal bagi varian CVT) dan juga limited-slip differential bagi varian manual.

Pembeli boleh menyuaipadankan dengan beberapa pilihan termasuk HKS sport muffler, kit suspensi HKS baharu dan sistem bunyi Daitone yang dipertingkatkan. Hanya dua pilihan warna ditawarkan – British Green Mica dengan warna dalaman tan dan Pearl White III dengan dalaman hitam.

Sistem mekanikal tiada perubahan, Coupe masih mengekalkan enjin 660 cc pengecas turbo tiga-silinder seperti peraturan yang ditetapkan bagi kei car, mampu menghasilkan 64 PS pada 6,400 rpm dan tork 92 Nm pada 3,200 rpm. Ia dipadankan sama ada dengan transmisi CVT tujuh-kelajuan atau manual lima-kelajuan.