Ekoran kenyataan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (BUMIPEDA) menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan bahan api petrol dan diesel yang dijangka kering di semua tangki penyimpanan di stesen minyak menjelang 1 Januari 2019, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan jaminan, bekalan kedua-dua bahan api tersebut akan sentiasa ada dan mencukupi untuk jualan harian di seluruh negara.

Menurut Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Seri Jamil Salleh, bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975, laporan Bernama.

“Oleh itu kerajaan akan memastikan bahawa pembekalan barang berjadual tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna pada setiap masa,” katanya.

Jamil turut berkata, sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen diwajibkan mematuhi syarat-syarat di dalam lesen, antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

Syarat lain ialah pemegang lesen juga tidak dibenarkan menutup stesen petrol/bahan api diesel atau memberhentikan penjualan petrol / bahan api diesel di stesennya tanpa kebenaran.

“Kegagalan pengusaha stesen untuk mematuhi arahan ini atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.