Ada perkembangan terkini mengenai Borgward BX5, yang sepatutnya dilancarkan pada hujung September lalu. Menurut entri di laman Facebook Borgward Malaysia, SUV ini sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan akhir dari pihak kerajaan, dan turut menyiarkan foto unit R&D yang sedang menjalani ujian akhir di jalanraya.

SUV lima-tempat duduk, berukuran 4,490 mm panjang, 1,877 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, dengan 2,685 mm jarak roda, pertama kali dipertontonkan di Malaysia pada April lalu, bersama BX7, dengan unit contoh pemanduan sebelah-kiri.

BX5 yang dipertontonkan itu dijana oleh enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder yang menawarkan kuasa sehingga 190 PS pada 5,500 rpm dan tork 280 Nm dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Unit ini turut dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, dengan sistem pacuan-semua roda. Di China, ia turut menampilkan pilihan enjin 1.4 liter turbo, dengan hamburan kuasa 150 PS dan tork 250 Nm.

Bagi spesifikasi tempatan, ia masih belum disahkan, dan belum ada sebarang kemaskini. Sebelum ini dilaporkan, BX5 akan ditawarkan dengan harga tentitif di bawah RM100k dan ia akan dijual dalam versi unit pemasangan tempatan (CKD).

Pada Mei lalu, Go Bremen Motors telah menandatangani perjanjian dengan Borgward untuk mengendalikan pemasangan dan pengedaran bai model Borgward di Malaysia dan juga beberapa negara terpilih di rantau Asia.


GALERI: Borgward BX5 (versi pemanduan sebelah kiri)