Ford F-150 Raptor CKD pemanduan kanan – RM788k

Ford F-150 Raptor CKD pemanduan kanan – RM788k

Trak pikap Ford F-150 mempunyai nama yang kuat di Amerika Syarikat dan negara lain yang menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri. Walaupun begitu, ada sebuah syarikat di United Kingdom iaitu Sutton Bespoke yang melakukan kerja ubah suai kenderaan ini kepada pemanduan sebelah kanan.

Ia juga sudah pernah masuk ke pasaran Malaysia melalui Hamawangsa Kredit, dan kini tiba pula satu model baru iaitu F-150 Raptor menggantikan model biasa sebelum ini. Walaupun menggunakan asas sebenar Ford F-150 Raptor, ia didaftarkan di Malaysia sebagai Sutton MonsterRaptor.

Sebenarnya, Raptor yang dihasilkan oleh Sutton ini adalah menggunakan asas daripada model tahun 2017, yang jika diikutkan, masih tidak banyak berbeza dengan Raptor tahun 2019 yang baru diperkenalkan oleh Ford bulan Jun yang lalu.

Enjin yang digunakan untuk memacu trak pikap besar ini adalah unit V6 3.5 liter twin-turbo EcoBoost, dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 450 hp dan 691 Nm tork. Untuk pengetahuan anda, enjin ini juga mampu menghasilkan kuasa yang lebih berbanding enjin V8 6.2 liter yang digunakan pada Raptor sebelumnya. Video perbandingan pecutannya boleh dilihat di sini.

Selain daripada itu, Sutton MonsterRaptor yang dipasarkan di Malaysia ini juga datang dalam bentuk badan SuperCrew, yang bermakna, ia mempunyai ruang untuk penumpang belakang yang lebih luas, pintu saiz penuh, jarak roda 30 sm lebih panjang berbanding Raptor SuperCab dan lebih lebar 15 sm berbanding F-150 biasa.

Dalam keadaan standard, Sutton MonsterRaptor datang dengan kelengkapan seperti suspensi Fox Racing Shox masing-masing dengan jarak gerak 13 inci di hadapan dan 14 inci di belakang berserta tahap serapan boleh ubah, rim 17 inci dengan tayar BF Goodrich All Terrain T/A KO2 saiz 315/70, tempat duduk hadapan larasan kuasa dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60/40.

Ford F-150 Raptor CKD pemanduan kanan – RM788k

Lain-lain kelengkapan adalah termasuk skrin infotainmen 4.2 inci, cruise control, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, soket kuasa 12V di depan dan belakang, roda stereng dibalut kulit dengan pedal penukar gear dan butang kawalan dan pengesan undur.

Jika itu masih tidak mencukupi, anda juga boleh menambah pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan oleh Sutton dan Hamawangsa, seperti tempat duduk larasan kuasa 10 cara dengan sistem memori, penyejuk dan pemanas, skrin infotainmen 8.0 inci, kamera 360 darjah, Lane Keeping System, pendingin hawa dua zon, naik taraf audio, lampu LED atas bumbung, bampar dan gril rekaan khas Sutton, penutup bahagian kargo dan juga pakej naik taraf intercooler.

Contoh model yang lengkap dengan aksesori ini adalah seperti di dalam gambar, iaitu model yang sedang dipamerkan di pusat pameran Hamawangsa Kredit, dan ia dijual pada harga RM788,000 tidak termasuk insurans. Malah, unit berwarna biru di dalam gambar juga sebenarnya sudah dijual dan mempunyai tuan.

Sutton MonsterRaptor ini ditawarkan dalam lima warna iaitu putih, hitam, biru, merah dan kelabu, dan Hamawangsa Kredit mensasarkan penjualan sebanyak 20 hingga 30 unit untuk masa satu tahun. Ia juga adalah unit yang dipasang dalam negara (CKD), dilakukan di Gurun, Kedah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required