2018 menjadi satu tahun yang cemerlang untuk Volvo Cars. Syarikat itu mencatatkan rekod jualan tertinggi bagi tahun lalu, melebihi tanda aras 600,000 unit buat kali pertama sejak ditubuhkan pada 1927. Angka jualannya naik 12.4% menjadi 642,253 unit pada tahun 2018, berbanding hanya 571,577 unit pada 2017. Tahun lalu juga menjadi kali kelimat berturut-turut Volvo mencatatkan rekod jualannya.

Antara penyumbang besar terhadap pencapaian ini ialah permintaan tinggi terhadap barisan SUV XC,
bagi pasaran-pasaran utama seperti di AS, Eropah dan China. Pada Disember lalu, syarikat ini menjual 60,157 kenderaan, naik 2.8% jika dibandingkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Tahun lalu, jualan di AS meningkat sebanyak 20.6% kepada 98,263 unit, antaranya disebabkan oleh permintaan tinggi terhadap model XC60 dan SUV lainnya. Sedan Volvo S60 pengilangan AS pula baru sahaja diedarkan di sana, dan dijangka akan menjadi penyumbang besar untuk 2019.

Di China pula, jumlahnya lebih banyak, tetapi peratusan pertumbuhan yang dicatatkan lebih kecil; naik 14.1% kepada 130,593 unit sepanjang 2018. Permintaan paling tinggi yang dicatatkan ialah bagi XC60 dan S90. Di pasaran Eropah, pertumbuhan sebanyak 6.4% direkodkan, menjadi 317,838 kenderaan – V60 wagon dan XC40 menjadi model utama.

XC60 menjadi model paling laris untuk 2018, dengan 189,459 unit terjual (184,966 unit pada 2017), diikuti oleh XC90 dengan 94,182 unit (87,518 pada 2017). V40/V40 Cross Country menjadi ketiga terlaris dengan 77,587 unit (95,370 unit pada 2017), hanya lebih sedikit dari XC40 dengan 75,828 unit. Sedan S90 pula mencatatkan 57,142 unit (46,602 pada 2017).