TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

Antara banyak-banyak Honda Civic Type R FK8 yang diubahsuai di Tokyo Auto Salon 2019, unit yang diubahsuai oleh badan penala ‘otai’ Jepun – HKS – ini adalah yang paling saya suka. Civic R yang diberi nama HKS FK380R ini langsung tidak diberikan perubahan pada kit badan, tetapi dipenuhi dengan kelengkapan mekanikal untuk berperang!

Seperti namanya, Type R kepunyaan HKS ini dibekalkan kuasa 380 PS dan tork maksima 510 Nm dari enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo yang asalnya hanya menghasilkan 320 PS/400 Nm. Menurut maklumat yang dipaparkan, angka kuasa yang dicapai ini diekstrak dengan hanya menggunakan turbin standard yang dibekalkan dari kilang Honda.

Jadi apa yang dilakukan HKS bagi mendapatkan kuasa sedemikian? Pertama sistem ekzos disentuh dahalu dengan menukar down pipe asal serta kit ekzos penuh HKS Legamax Premium, dan diakhir dengan muffler HKS HiPower Spec-L menggantikan tiga muncung ekzos asal Type R FK8.

TAS2019: Honda Civic Type R HKS FK380R – 380 PS!

Kemudian sistem kemasukan turut dirombak dengan pemadanan kotak angin gentian karbon HKS untuk pengambilan udara lebih sejuk dan juga kit penapis udara ‘cendawan’ HKS berwarna merah yang digelar Racing Suction (berbanding hijau untuk HKS Power Super Flow biasa) lengkap dengan ram udara ke sistem asal.

Sebelum udara yang disedut tadi masuk ke throttle body, ia terlebih dahulu disejukkan dengan lebih efisien dengan kit Intercooler HKS R Type, manakala lebihan boost akan dibuang oleh injap blow-off HKS Super SQV. Dengan perubahan corak dan jumlah kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran ini, talaan semula dibuat dengan pemadanan kotak komputer Hondata Flash Pro. Kit penyejuk minyak pelincir turut dipadankan bagi memastikan suhunya kekal rendah walaupun kereta ini sedang dibelasah di atas litar.

Tiada sebarang maklumat berkenaan sistem transmisi. Jadi berkemungkinan ia masih menggunakan sistem klac. kotak gear manual enam-kelajuan dan juga LSD asal Honda Civic Type R FK8.

Kuasa yang besar ini turut hadir sekali dengan sistem pengendalian dan brek yang lebih baik bagi memastikan ia masih boleh dikawal dengan baik. HKS memberikan set lengkap suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax IV SP. Oleh kerana suspensi asal Civic Type R menggunakan sistem adaptif yang dihubungkan pada mod pemanduan, set dari HKS ini turut hadir dengan kit Suspension Error Canceler SEC Type H.

Untuk set rim dan roda, HKS membuktikan lebih besar tidak semestinya lebih baik. Rim asal Type R FK8 yang berdiameter 20-inci ditukarkan dengan rim aloi forged Advan Racing RS DF dan dibaluti tayar litar Yokohama Advan AD52 bersaiz 265/35R18 – kombinasi rim lebih kecil dengan tayar gemuk ini nampak lebih racing dari tayar ‘sotong’ asal kan?

Kuasa pemberhentian juga diambil berat pada jentera dengan kuasa liar ini. Oleh itu, FK380R diberikan sistem brek lengkap dari Endless untuk bahagian hadapan manakala di belakang hanya menerima pad brek juga dari Endless.

Seperti yang disebutkan tadi, tiada sebarang kit aero tambahan pada Civic ini. Ia tampil dengan warna badan hitam, kemudian HKS memberikan grafik ringkas dengan jalur pelekat krom pada bawah pintu bersama logo-logo HKS dan juga peralatan prestasi lain yang digunakan kereta ini.

Untuk pameran di Tokyo Auto Salon ini, HKS turut memotong berberapa bahagian bampar hadapan bagi membolehkan anda melihat kelengkapan prestasi yang dipadankan seperti intercooler, dan juga corong udara khas untuk oil cooler.

Ini kerana, setiap komponen ini dijual oleh HKS dan anda boleh membina FK380R anda sendiri sekiranya anda membeli setiap peralatan berkenaan. Kami juga difahamkan HKS kini turut sedang membangunkan kit bagi mendapatkan 430 PS dan 600 PS menerusi pelbagai kelengkapan lain termasuk turbin lebih besar!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required