TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

Jun Auto Mechanic antara penala old timer Jepun yang masih setia mempamerkan hasil karya mereka ke Tokyo Auto Salon 2019. Tiga demo car di bawa acara berkenaan iaitu Jun 420GTR (Nissan GT-R R35), Jun Super Lemon Toyota 86, dan yang paling menarik perhatian dan relevan dengan kita adalah Jun Super Lemon Fit RS diasaskan dari Honda Jazz/Fit GK5 varian RS.

Jun melakukan ubahsuai lengkap terhadap Super Lemon Fit RS ini bukan sahaja dari segi rupa, malah lengkap dengan kuasa dan pengendalian yang lebih baik. Tak lengkap la kalau sebuah kereta demo Jun jika enjin tidak diusik bukan? Fit RS ini masih dijana enjin L15B, tetapi aci sesondol (camshaft) asal telah ditukar kepada unit berdurasi lebih tinggi bagi membolehkan lebih banyak campuran udara bahan api ke kebuk pembakaran.

TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

Dapat dilihat juga, kotak angin untuk sistem pengambilan udara asal telah dibuang, diganti dengan penapis udara berprestasi tinggi bersama paip ram aloi. Untuk ekzos, manifold masih lagi standard, tetapi paip utama hingga muffler, ia menerima set sistem Blitz Nur-Spec VSR. Walau bagaimanapun, perincian berkenaan unit pengurusan enjin dan jumlah kuasa yang dihasilkan tidak didedahkan oleh Jun. Menurut mereka lagi, sistem transmisi juga masih lagi dalam keadaan standard iaitu kotak gear enam-kelajuan manual, ya, manual!

Untuk pengendalian, Fit ini menerima set suspensi lengkap D2 Japan Street, dan ia juga menerima roll cage lengkap yang pastinya memberikan respon pemanduan lebih tegap dan jitu. Kuasa enjin disampaikan ke permukaan jalan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD80 bersaiz 245/45R17 yang membaluti set rim Yokohama Advan RZ3 bersaiz 17×7.5 j. Manakala untuk memberhentikan hatchback segmen-B in dengan lebih cepat, Jun memadankan sistem brek lengkap D2 Japan dengan angkup jenis monoblok.

Untuk bahagian luaran, Jun Super Lemon Fit RS ini diberikan kelopak mata, lip spoiler dan juga skirt sisi dengan sayap ‘Twin Cam’ dari Jun, bersama spoiler gt SARD R-Wing, serta cermin sisi gentian karbon lebih kecil – ringkas, tetapi dengan set rim, tayar dan juga brek yang kelihatan, kereta ini nampak begitu agresif. Seperti jentera-jentara Jun lain yang menerima nama ‘Super Lemon’, Fit RS ini diberikan warna badan Vivid Yellow.

Anda akan lebih teruja melihat bahagian dalam Fit RS talaan Jun ini. Selain dari roll cage yang dinyatakan tadi, ia turut dipadankan dengan tempat duduk perlumbaan dari Bride, lengkap dengan tali pinggang empat-poin, sementara tempat duduk belakang dan juga karpet telah dikeluarkan. Roda stereng asal pula digantikan dengan stereng Works Bell tiga-jejari balutan kulit dengan jahitan benang kuning, sementara pemain infotaimen juga dibuka, digantikan dengan komputer paparan informasi dan sistem data logging Blitz TOUCH.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required