Honda Jazz/Fit facelift didedahkan di Jepun – dilancarkan di pasaran berkenaan pada Jun ini

Honda Jazz/Fit <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – dilancarkan di pasaran berkenaan pada Jun ini

Bagi mereka yang menunggu dan tidak sabar untuk mengetahui bagaimana rupa sebenar Honda Jazz facelift yang sudahpun dibuka tempahannya di Malaysia, dan bakal membuat kemunculan sulungnya di sini tidak lama lagi, ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu untuk anda – Jazz/Fit versi facelift 2017 sudah pun didedahkan di Jepun secara rasmi.

Imej pada brosur Honda Jazz (atau dikenali dengan nama Fit di Jepun) versi facelift yang tersebar sebelum ini ternyata benar menerusi pendedahan rasmi dari Honda ini. Pada bahagian hadapan, ia diberikan gril dan bampar baharu, menampilkan kemasan seperti liang kemasukan udara sisi yang direka lebih besar, bersama lip spoiler yang lebih menyerlah. Ia juga turut diberikan lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang baharu, direka dengan tema sama seperti City facelift, menjadikan rupa keseluruhannya lebih tajam dan sporty.

Pada bahagian belakang pula, dapat dilihat susunan pada lampu kombinasi kini dirombak semula (bahagian putih yang lebih kecil, lampu undur berasingan dan bar LED berbeza) untuk model Sport Hybrid yang dipaparkan pada set gambar ini. Ia agak berlainan dengan gambar dari Honda Malaysia yang kami terima pagi tadi (sama seperti model sedia ada), berkemungkinan kerana ia dari versi petrol, dan versi Sports Hybrid pasaran tempatan bakal menerima lampu yang sama seperti pasaran Jepun. Fit JDM varian tertinggi juga menerima cermin sisi dengan kemasan hitam.

Turut didedahkan ialah bahagian dalaman Fit Hybrid JDM. Untuk versi standard, ia diberikan tempat duduk dengan penyokong sisi hingga ke bahagian atas, serta kemasan jalur tengah seperti pada Civic FC. Model pasaran Jepun ini turut ditawarkan dengan bahagian dalaman dengan tema hitam-perang, di mana kemasan perang tersebut diberikan pada tempat duduk, panel dalaman pintu dan roda stereng.

Tuil penukar gear untuk versi hibrid ini direka berbeza dengan tuil normal pada versi petrol. Tuil berkenaan menampilkan rekaan bersegi bersama batang tuil lebih pendek. Untuk versi facelift ini, bahagian berkenaan kini turut diberikan kemasan hitam berkilat. Pakej keselamatan Honda Sensing Suite juga diberikan pada Fit/Jazz buat pertama kali menerusi model facelift pasaran Jepun ini.

Honda Fit facelift 2017 bakal dilancarkan di Jepun pada lewat bulan hadapan. Empat varian bakal ditawarkan pada pasaran berkenaan meliputi Hybrid (seperti yang dipaparkan ini) 1.3 liter, 1.5 liter dan juga varian “yang lebih sporty” dijangka versi RS.

Seperti yang dilaporkan pagi tadi, Honda Jazz facelift 2017 pasaran Malaysia bakal menerima dua versi janakuasa iaitu 1.5 liter SOHC i-VTEC bersama transmisi Earth Dreams CVT sama seperti Jazz dan City sedia ada, dan versi hibrid yang hadir dengan teknologi “Sports Hybrid” i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) yang berbeza secara keseluruhannya dari Jazz Hybrid IMA generasi sebelum ini.

Sistem hibrid baharu ini menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter, menurut Honda.

Honda Jazz/Fit <em>facelift</em> didedahkan di Jepun – dilancarkan di pasaran berkenaan pada Jun ini

Kuasa dialirkan ke roda hadapan bukan melalui kotak gear CVT, tetapi model ini menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan. Transmisi ini bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

Buat masa sekarang, Malaysia merupakan satu-satunya pasaran di dalam dunia selain Jepun yang menerima Jazz Sports Hybrid ini. Honda Malaysia bukan sahaja telah membuka tempahan untuk versi hibrid, malah juga untuk model facelift versi janaan enjin petrol biasa. Model baharu ini bakal dilancarkan dalam suku kedua tahun ini,dan penghantarannya kepada pelanggan akan bermula pada suku ketiga 2017.

Bukan sahaja dengan rupa yang lebih segar, Jazz facelift akan dibekalkan dengan lampu nyalaan siang LED serta sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin secara standard untuk semua varian. Tempat duduk separa-kulit, kamera undur dengan paparan pelbagai sudut, enam-beg udara, sistem brek dangan ABS,BA, Bantuan Mula mendaki dan juga VSA turut diberikan pada varian yang lebih tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required