Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

Beberapa bulan kebelakangan ini, banyak syarikat terpaksa memperkenalkan model baru kenderaan tanpa disertai harga rasmi yang sebenar. Kebanyakannya hanya menggunakan harga anggaran. Awal bulan lalu juga, Persatuan Automotif Malaysia menyatakan bahawa hal itu disebabkan oleh kelewatan kelulusan harga kenderaan baru oleh pihak berkuasa.

Dalam satu taklimat media semalam, MAA sekali lagi menyentuh tentang perkara itu. “Kami memohon pertama sekali kepada MITI, untuk mendapatkan kelulusan bagi ILP (Industrial Linkage Programme) dan itu saja mengambil masa yang lama. Kadang-kadang perjumpaan berkaitan ini pun tidak diadakan,” jelas Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

“Berlaku penangguhan, dan itu boleh memakan masa sehingga lima hingga tujuh bulan. Terdapat beberapa ahli MAA yang masih menunggu sejak Mei 2018 hingga ke hari ini – mereka masih belum dapat kelulusan harga lagi,” tambah beliau. ILP merangkumi insentif dan pemansuhan duti, yang perlu dipertimbangkan oleh pengeluar ketika ingin menentukan harga sesebuah kenderaan.

Aishah juga memaklumkan, Kementerian Kewangan, yang sebelum ini akan memberikan kelulusan itu, kini tidak lagi mahu membuat keputusan itu. “Semuanya diserahkan kepada Komiti Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC),” jelas Aishah dan menjelaskan komiti berkenaan terdiri daripada badan-badan seperti Kastam, MITI, Kementerian Kewangan, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan MIDA.

Kelulusan harga kenderaan baru masih lagi tertangguh

“Walaupun selepas komiti ini membuat keputusan, ia berbalik pula kepada kertas-kertas rasmi yang tidak dikeluarkan. Kami telah suarakan perkara ini, kerana amat sukar untuk mendapatkan harga yang diluluskan dan kerana itu, kami tidak boleh melancarkan model-model baru,” jelas Aishah.

“Lebih memburukkan keadaan, Jabatan Audit Negara sedang menjalankan audit terhadap semua yang pernah menerima ILP ini, dan telah pergi untuk memeriksa bahawa apa saja yang kami nyatakan dalam proposal adalah betul. Audit telah dijalankan, dan mereka sepatutnya memberikan maklum balas kembali hujung bulan ini.”

“Jadi, pegawai-pegawai kerajaan ketika ini sedang menangguhkannya. Mereka tidak mahu membuat keputusan itu sendiri, ia memerlukan keputusan komiti. Ini tidak membantu industri,” sambung beliau.

Aishah juga mendedahkan banyak ahli-ahli MAA terkesan dengan perkara ini, dan mereka juga telah membangkitkan soal ini ke perhatian Kementerian Kewangan dan akan mengadakan perjumpaan dengan MITI juga. “Kamu tahu ada banyak model-model kenderaan yang belum boleh dilancarkan. Model-model ini bagaimanapun sudah dipertontonkan ketika KLIMS, di mana semua itu sepatutnya dilancarkan. Tapi sehingga hari ini kami masih belum terima harganya,” jelas beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required