Ketika di KLIMS18 tahun lalu, Perodua ada perkenalkan rekaan X-Concept, sebuah kajian reka bentuk hatchback kompak untuk digunakan pada masa depan. Walaupun tidak disebut untuk model yang mana, ada yang beranggapan X-Concept berkenaan kebarangkalian besar akan digunakan untuk model Axia generasi akan datang. Axia kini sudah menempuh usia lima tahun berada dalam pasaran.

Kalau betul, maka imej render yang dipaparkan ini mungkin boleh dijadikan bayangan petunjuk bagaimana penampilan Axia generasi baru nanti. Sekali pandang, rekaan X-Concept secara keseluruhannya masih dikekalkan, dengan perbezaan sedikit sebanyak perincian lain dari sudut rekaannya.

Antaranya, bahagian atas gril dan ruang masukan udara di bawahnya tidak menggunakan corak X, dan dipadankan dengan rupa yang lebih bersahaja. Pada gril juga, sedikit pengaruh dari Aruz boleh kelihatan; dengan beberapa palang, dan palang tengah dengan logo Perodua nampak lebih tebal.

Ada juga kemasan krom yang menghala ke arah lampu utama, dan turut lengkap dengan kemasan hitam di bawah kluster utama untuk menonjolkan kerangka gril yang lebih jelas. Pada bucu bampar juga ada menempatkan perumah bagi lampu kabus, dalam tema hitam.

Rim pula sekali lagi dipinjam dari Alza dalam versi terbaru, dan diberian skim warna yang juga baru. Bagaimanapun, jika X-Concept tampil dengan warna tiga-tona untuk bahagian luarannya, rekaan digital yang dihasilkan ini pula menggunakan hanya dua warna – badan warna merah dan c-pillar warna hitam untuk mengekalkan kesan “bumbung terapung”. Perincian lain termasuk pemegang pintu dan cermin sisi dari Aruz.

Dimensi X-Concept ini pula adalah seperti berikut; 3,750 mm panjang, 1,665 mm lebar, dan 2,460 mm jarak antara roda. Ukuran ini berada di antara Axia (3,640 mm panjang, 1,620 mm lebar, 2,455 mm jarak roda) dan Myvi (3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 2,500 mm jarak roda). Seperti yang dijelaskan oleh perekanya, size X-Concept adalah untuk tujuan dijadikan kereta kompak global dari segmen A. Kalau betul ini adalah rekaan mirip Axia generasi akan datang, boleh diterima atau tidak? Apa komen anda?