Selain Tracer 900 GT yang dilancarkan hari ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd turut membuat pra tonton awal sebuah lagi model baru iaitu YZF-R25 facelift. Ia hanya akan berada di pasaran pada bulan Mac (harga juga akan diumumkan pada waktu itu) dan adalah model sama yang sebelum ini dilancarkan secara serentak di Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat Oktober tahun lalu.

Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j). Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (model sekarang dijual pada harga RM19,463) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

Model yang dipertonton di Malaysia ini tidak dilengkapi dengan ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya di Indonesia pernah memberitahu bahawa R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA.