Ford F-150 Raptor dilancar secara rasmi di M’sia – CKD RHD, 3.5L V6 bi-turbo, 450 hp/691 Nm, RM781k

Ford F-150 Raptor dilancar secara rasmi di M’sia – CKD RHD, 3.5L V6 bi-turbo, 450 hp/691 Nm, RM781k

Kami telah mendedahkan bahawa Hamawangsa Kredit telah membawa Ford F-150 Raptor sebenar ke Malaysia, dan hari ini trak pikap gergasi berprestasi tinggi tersebut telah dilancarkan secara rasmi. Model ini dijenamakan semula sebagai Sutton CS 3500 untuk pasaran tempatan, dan jangan risau kerana ia sememangnya sebuah F-150 Raptor asli. Harga? RM780,000 atas jalan tanpa insuran.

Raptor F-150 merupakan model yang direka khas untuk pasaran Amerika Syarikat, sebab itulah saiznya jauh lebih besar dari trak pikap biasa di Malaysia. Untuk unit yang dijual di sini, kami difahamkan ia dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Gurun, Kedah dan proses transformasi dari pemanduan sebelah kiri (LHD) kepada versi pemanduan sebelah kanan (RHD) telah dilakukan oleh Sutton Bespoke dari UK.

Buat masa sekarang, Hamawangsa hanya menawarkan Raptor F-150 dengan versi badan SuperCrew Cab, yang dijana enjin 3.5 liter V6 EcoBoost dengan dua pengecas turbo. Enjin berkenaan mampu untuk menjana 450 hp dengan tork maksima 691 Nm, digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik, manakala pacuan empat roda pula menggunakan sistem dengan dua kelajuan.

Hamawangsa turut menawarkan opsyen untuk kuasa lebih besar menerusi pakej Monster Intercooler. Dengan pakej ini, Raptor anda akan beraksi lebih agresif dengan bekalan kuasa 520 hp dan tork maksima 827 Nm!

Selain itu, Raptor ini datang dengan ciri standard lain seperti locking differential pada gandar belakang yang beroperasi secara elektronik dan LSD jenis Torsen. Manakala untuk sistem suspensi, ia didatangkan bersama penyerap hentak berdiameter tiga-inci FOX Racing Shox, dengan strok setinggi 13-inci di hadapan dan 14-inci dibelakang. Tayar All Terrain BFGoodrich T/A KO2 315/70R17 diberikan, membaluti rim aloi bersaiz 17-inci.

Trak pikap ini juga menampilkan kelengkapan standard lain yang terdiri dari skrin paparan instrumen 4.2 inci, cruise control, sistem masuk tanpa kunci dan butang penghidup enjin, soket kuasa 12V di depan dan belakang, roda stereng dibalut kulit dengan pedal penukar gear dan butang kawalan, penderia undur, tempat duduk larasan berkuasa dan upholsteri kulit, penghawa dingin manual dua-zon, sunroof, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga Terrain Management System.

Bagi menyesuaikan kegunaannya pada suasana off-road, ia turut menampilkan lampu bar LED penuh pada bumbung, lampu LED pada gril hadapan, penutup tonneau kawalan eletronik, pakej tundaan treler serta karpet kaki jenis all-weather.

F-150 Raptor atau Sutton CS 3500 ini hanya akan dibina setelah anda melakukan tempahan, dan ia akan siap dalam masa enam bulan selepas itu. Pembeli juga ditawarkan pelbagai opsyen seperti pakej kuasa tambahan seperti yang dinyatakan tadi serta ciri lain seperti pilihan rim aloi dan juga penutup bed. Setiap pembelian trak rasaksa ini akan diberikan perlindungan waranti selama tiga tahun/60,000 km, disediakan oleh Nazamax.

Hamawangsa merupakan pemegang franchise dan pengedar utama untuk model-model Clive Sutton di rantau ASEAN, dan CS 3500 ini turut akan dieksport ke Indonesia, Laos, Myanmar, Vietnam, Singapore dan Brunei, serta versi pemanduan sebelah kiri untuk pasaran Filipina. Syarikat berkenaan turut akan membawa model F-150 dengan kuasa diesel digelar CS 3000 pada suku keempat tahun ini, dijana enjin 3.0 liter V6 turbodiesel Power Stroke berkuasa sekitar 250 hp/596 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required