Mulai 1 April ini, Singapura mungkin tidak membenarkan kenderaan asing yang mempunyai sejumlah denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan trafik, parkir atau pelepasan asap kenderaan daripada memasuki negara tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kira-kira 60,000 kenderaan asing memasuki Singapura setiap hari, laporan Bernama.

“Kami memandang serius kegagalan mereka berbuat demikian. Untuk mengingatkan pemilik kenderaan asing untuk membayar denda yang belum dijelaskan, risalah telah diedarkan, dan papan iklan dipasang di tempat pemeriksaan darat. Polis trafik dan agensi kerajaan yang lain juga menjalankan operasi di pusat pemeriksaan darat untuk mengesan pemandu kenderaan terbabit supaya menjelaskan denda,” kata kenyataan itu.

Walaupun langkah-langkah ini dilaksanakan, agensi itu berkata beberapa pemandu kenderaan asing terus mengabaikan denda yang belum dilunaskan.

Oleh itu, untuk terus menghalang perlakuan sedemikian dan menguatkuasakan secara lebih berkesan terhadap mereka yang gagal membayar denda, kenderaan asing yang mempunyai denda yang belum dijelaskan bagi kesalahan berkaitan kenderaan mungkin tidak akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 1 April 2019.

Untuk mengelakkan daripada tidak dibenarkan memasuki Singapura, pemandu asing dinasihatkan supaya menyemak sama ada mereka mempunyai denda yang belum dijelaskan untuk kesalahan berkaitan kenderaan dan menjelaskannya dengan segera. Pemandu boleh membuat semakan bagi semua denda dengan melayari www.axs.com.sg.

Pada awal Disember lalu, Senator Datuk Rabiah Ali, ahli Dewan Negara telah mencadangkan mana-mana kenderaan dari Singapura yang masih tidak menjelaskan saman tertunggak haruslah tidak dibenarkan keluar dari Malaysia.