Motosikal jenis jelajah dijangka terus mendapat sambutan pada tahun 2019 ini dan Kawasaki telah bersedia awal dengan melancarkan versi baru bagi Versys 1000. Ia bukanlah model generasi baru, tetapi merupakan versi yang dipertingkat daripada model lama, dan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu Standard dan SE.

Bagi yang sudah kenal, anda boleh melihat bahagian hadapan Versys 1000 2019 ini adalah serba baru, dengan dua lampu jenis LED dan paruh yang pendek. Dari depan ia nampak unik, tapi dari tepi anda akan dapat melihat bentuk rekaan seperti model Ninja. Beberapa bahagian lain seperti panel plastik tepi dan ekzos juga diubah.

Versys 1000 2019 turut menerima panel instrumen TFT baru, yang boleh disambung dengan aplikasi Rideology bagi memberikan pelbagai lagi fungsi kepada pengguna (untuk model SE sahaja), namun ia masih mempunyai tolok analog untuk kadar rpm. Kemudian di tepi panel ini, soket kuasa yang sebelum ini disediakan sebagai aksesori diberikan secara standard.

Bahagian enjin masih tidak diubah, di mana Versys 1000 masih lagi menggunakan unit empat silinder selari penyejukan cecair 1,043 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 120 PS pada 9,000 rpm dan 102 Nm tork pada 7,500 rpm (sama seperti sebelum ini).

Pada bahagian roda hadapan, Versys 1000 menggunakan set brek cakera berkembar 310 mm, angkup empat piston serta fork USD 43 mm manakala di belakang pula terdapat monoshock BFRC, dan kedua-duanya boleh dilaras untuk pra beban serta mampatan.

Ciri lain yang ada pada Versys 1000 2019 adalah rim 17 inci, klac jenis assist & slipper, penghadang angin hadapan yang boleh dilaras, tiga mod Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), cruise control dan pilihan mod kuasa.

Versi SE mempunyai senarai kelengkapan yang lebih tinggi, dengan antara kelebihannya adalah LED Cornering Lights, Kawasaki Electronic Control Suspension KECS), quickshifter, mod tunggangan yang boleh dilaras sekali dengan KECS, cat yang boleh elok sendiri apabila calar halus, penghadang tangan serta penghadang angin hadapan yang lebih tinggi.

Sudah tentu, untuk menjadikan model ini lebih tahan lasak serta bersesuaian dengan kehendak pengguna, ia didatangkan dengan pilihan pelbagai aksesori yang termasuk besi pelindung di pelbagai bahagian penting motosikal, beg barangan tepi dan belakang) dan lampu tambahan.