Lego bukan lagi sekadar barang mainan untuk kanak-kanak, tapi tak ketinggalan untuk bapa-bapa juga. Apa lagi untuk peminat-peminat model kenderaan ikonik. Bermula 1 Mac, Lego Creator Expert set akan memperkenalkan model Ford Mustang 1967 pula.

Terdiri daripada 1,470 bahagian, model Lego untuk Mustang ini turut datang dengan stereng yang berfungsi, warna luaran biru tua, jalur lumba putih, scoop pada bonet, gril Mustang, logo GT serta rim lima-jejari dengan tayar getah sebenar.

Dengan ukuran 10 cm tinggi, 34 cm panjang dan 14 cm lebar, terdapat juga koleksi pilihan tambahan untuk model ini. Ia terdiri daripada supercharger, spoiler belakang, paip ekzos besar, spoiler depan dan tabung NOS.

Replika ini juga membolehkan barangan diletakkan di boot, atau membuka hud depan untuk memperlihatkan blok enjin 6.4 liter V8 yang hadir sekali dengan perincian lain seperti bateri, hos dan penapis udara. Gandar belakang juga boleh ditinggikan untuk lebih garang. Pintu pula boleh dibuka dan panel bumbung boleh dibuka untuk memudahkan akses ke bahagian dalam.

Di dalam ada tempat duduk klasik, radio serta konsol tengah dengan gear. Lego Creator Expert Ford Mustang ini dijual pada harga 129.99 Euro (RM600) di Jerman dan £119.99 di UK. Jangan lupa, sebelum ini pun ada sebuah kereta yang Lego perkenalkan, terdiri daripada 3,599 bongkah – 1:8 Bugatti Chiron.