Sebanyak 10 buah Proton X70 telah memulakan perjalanan jarak jauh hari ini, dengan jarak 13,000 km melalui empat buah negara. Bakal merentasi sempadan Malaysia, Thailand, Laos dan China, kembara ini menuju ke ibu pejabat Geely di Hangzhou, China – dan singgah di 13 kota di antaranya.

Akan mengambil masa selama 33 hari, kumpulan ini membiayai sendiri perjalanan mereka – bagi kos penginapan dan bahan api serta perbelanjaan lainnya. Proton terlibat dalam menyediakan sokongan teknikal dan servis kenderaan yang terlibat, selain selaku pemudah cara bagi melicinkan lagi perjalanan itu.

Untuk hari pertama kembara, konvoi ini akan bermalam di Hatyai terlebih dahulu. Pusingan penuh kembara ini nanti akan berakhir di kilang Proton Tangjung Malim. Konvoi ini dianjurkan oleh Borneo Automobile Leisure Touring Team. Bagi Proton, secara tidak langsung ini peluang yang baik untuk mempromosi jenama Proton serta SUV pertama keluarannya dirantau ini melalui kembara ini.

Mereka dijangka tiba di Hangzhou pada 12 Mac nanti, dan mengakhiri perjalanan panjang ini di Tangjung Malim pada 28 Mac. Semua Proton X70 yang terlibat adalah milik persendirian semua peserta yang ikut serta. Semoga perjalanan mereka lancar dan selamat pulang ke tanah air.