Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, bakal dikuatkuasakan pada tahun 2020. Ini bermakna tinggal kurang 10 bulan lagi, pelaksanaan ini akan menjadi salah satu peraturan wajib dalam undang-undang lalu lintas.

Walau bagaimana pun, menurut kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati tahap kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai pemasangan kerusi kanak-kanak ini masih belum cukup memuaskan. Justeru, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama agensi lain termasuk MIROS sendiri dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) sedang memperhebatkan usaha dalam memupuk kesedaran di kalangan ibu bapa mengenai perkara ini.

“Selain mempertingkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa, kerajaan juga mahu memastikan semua pihak yang terlibat termasuk pembekal dan pengeluar kerusi kanak-kanak ini cukup bersedia dalam memastikan produk yang mereka jual ini benar-benar berkualiti, selain menawarkan harga yang mampu milik. Tahap kualitinya perlu menepati piawaian yang kita telah tetapkan, manakala harganya pula tidak membebankan golongan ibu bapa,” ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dailog tertutup dengan pembekal dan pengeluar kerusi kanak-kanak dan dalam masa yang sama turut menyaksikan demostrasi ujian dinamik berasaskan UN R44 kerusi kanak-kanak oleh MIROS dengan kerjasama Autoliv Hirotako Safety di Balakong, pagi tadi.

Memandangkan harga kerusi kanak-kanak di pasaran tidak ditetapkan harga siling oleh kerajaan buat masa ini, dan harganya berdasarkan kualiti dan jenamanya, Loke berkata, pihaknya telah berbincang dengan kastam dan Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan kerusi tersebut mendapat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai import.

“Setakat ini, harganya adalah termasuk SST, justeru kami telah memohon kepada kastam dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan pengecualian SST bagi kerusi kanak-kanak ini. Jadi, kita rasa bila ia akan diwajibkan, atas dasar ciri-ciri keselamatan, ia ada justifikasi untuk mendapatkan pengecualian SST. Tetapi kita memerlukan keputusan daripada pihak yang berkenaan. Begitu juga dengan cukai import, keputusan untuk pengecualiannya atau mendapatkan cukai yang lebih rendah sedang diteliti. Mungkin ia akan diputuskan tahun ini juga memandangkan peraturan penggunaan kerusi ini bermula tahun depan,” ujarnya lagi.

Kerusi kanak-kanak wajib mulai 2020; pengecualian SST dan cukai import sedang diteliti – Loke

Mengulas mengenai kegusaran orang ramai yang memiliki anak kecil lebih dari seorang yang pastinya memerlukan lebih daripada satu unit kerusi tersebut, Loke berkata, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan agensi berkaitan untuk mengeluarkan kaedah yang relevan sebagai memahami situasi dan keperluan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. “Kita akan mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas mengenainya sebelum peraturan ini dilaksanakan,” jawabnya.

Malaysia merupakan salah satu negara yang menandatangani perjanjian World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations WP 29. Salah satu peraturan yang Malaysia bersetuju untuk menggunapakai adalah peraturan United Nations Regulation 44 atau UN R44 iaitu Uniform Provisons Concerning the Approval of Restraining Devices for Child Occupants of Power-Driven Vehicles atau Child Restraint System (CSR).

Dalam demostrasi yang dijalankan oleh MIROS dan Autoliv hari ini mempamerkan ujian sled yang menunjukkan kebersediaan dan kemampuan MIROS menjalankan ujian dinamik ke atas kerusi kanak-kanak ini. Di dalam ujian sled tersebut, satu dummy kanak-kanak di dalam kategori P-dummy berusia tiga tahun diletakkan di dalam kerusi terbabit yang diuji pada kelajuan 50 km/j. Namun begitu, terdapat pelbagai jenis dummy yang boleh diuji di bawah UN R44 merangkumi bayi yang baru lahir hingga kanak-kanak berusia 10 tahun.

Selain daripada P-dummy, MIROS juga mempunyai dummy daripada Q-Series yang digunakan di dalam penilaian ASEAN NCAP yang terbaharu ke atas kerusi keselamatan kanak-kanak. Dummy Q juga boleh digunakan di dalam penilaian mengikut ketetapan UN R129 (Enhanced Child Restraint System on Board of Motor Vehicles).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required