Kerajaan Kelantan pimpinan Pas telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil alih pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang telah dibatalkan beberapa tahun lalu.

Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) (MTPNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya meniliti permohonan tersebut supaya projek yang terletak di dalam jajaran jalan raya lingkaran tengah (CSR) itu tidak terputus, laporan Bernama.

“Projek tersebut telah dibatalkan sebelum ini disebabkan syarikat yang mendapat tender membina lebuh raya sepanjang 10 kilometer bernilai RM200 juta itu tidak mampu melaksanakannya. Walau bagaimana pun, MTNg memutuskan supaya pihak JKR dapat meniliti cadangan kerajaan negeri itu kerana kita tidak mahu terputus disebabkan lebuh raya ini terletak di dalam CSR.

“Tidak munasabah sekiranya kita menyiapkan CSR tanpa mengambil pertimbangan projek Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai atas inisiatif kerajaan negeri Kelantan sebelum ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Lebuh Raya Rakyat dilancarkan pada Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada mulanya dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan. Bagaimanapun pada tahun 2015, Kerajaan Pas Kelantan memohon untuk menyerahkan projek tersebut kepada Kerajaan Pusat kerana tidak mampu untuk melaksanakannya.

Pembinaan CSR yang menelan kos RM8.4 bilion telah bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-10 dan turut menjadi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 demi kemudahan rakyat. Projek ini telah dipecahkan kepada dua fasa iaitu melibatkan Simpang Pelangai, Bentong (Pahang) ke Kuala Krai, Kelantan sepanjang 390 kilometer dan Kota Bharu ke Kuala Krai sepanjang 61.5 kilometer.