Menteri Kerja Raya Baru Bian telah mengesahkan kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa jalan Persekutuan di negara ini terpaksa ditunda berikutan kurangnya peruntukan.

Menurutnya, kementerian itu tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkesan kerana hanya memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta untuk penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2019. Di mana sejak 2015, peruntukan penyelenggaraan dikurangkan berbanding keperluan sebenar iaitu kira-kira RM2 bilion setahun, laporan Bernama.

“Sejak 2015, kementerian menerima peruntukan kira-kira RM600 juta hingga RM800 juta setahun. Namun, mulai tahun ini ia dikurangkan kepada RM100 juta,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan sebanyak RM610 juta bagi menampung keperluan melaksanakan penyelenggaraan jalan raya.

Baru berkata kira-kira 35% daripada 17,771.42 km jalan Persekutuan didapati mengalami masalah ‘crocodile crack’ akibat kurangnya penyelenggaraan mengikut jadual. ‘Crocodile crack’ merujuk kepada keadaan jalan yang rosak akibat rekahan dan retakan pada permukaannya berikutan kekerapan penggunaan oleh kenderaan yang membawa muatan berat.

Antara jalan Persekutuan yang sering mengalami kerosakan serius ialah di jalan Telupid-Sandakan di Sabah dan jalan menuju ke Pelabuhan Klang di Selangor. Kerosakan berpunca daripada volum kenderaan tinggi yang melalui jalan tersebut selain kenderaan berat seperti lori dan treler membawa muatan melebihi had ditetapkan.

Dalam tempoh 2016 hingga Julai 2018, sebanyak 15,594 aduan awam diterima KKR dengan 50% atau 7,987 adalah berkaitan isu penyelenggaraan jalan.