Ginetta, sebuah syarikat dari United Kingdom, telah mengumumkan mereka akan kembali menghasilkan kereta prestasi tinggi eksklusif untuk pasaran, dan menunjukkan model terbaru mereka iaitu Ginetta Akula di Geneva Motor Show. Dalam bahasa Rusia, Akula bermaksud jerung, dan ia juga digunakan sebagai satu panggilan untuk kapal selam tempur pacuan nuklear.

Unit Akula yang dibawa untuk pameran ini dicat dengan warna Typhoon Black, dan ia menampilkan gaya aerodinamik ganas yang diambil daripada model LMP. Penggunaan meluas gentian karbon dan besi serba ringan lain membantu menjadikan berat kenderaan ini cuma 1,150 kg dan ia dipacu enjin V8 6.0 liter yang terletak di tengah kereta (direka sendiri oleh Ginetta).

Daripada aspek prestasi, kereta pacuan roda belakang ini mempunyai lebih sedikit daripada 600 hp, dan ia boleh mencapai laju maksimum 322 km/j. Perincian lain masih belum disiar, tetapi ia akan menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan penukar gear di stereng, torque sensing LSD, serta brek matriks seramik karbon yang memberi kuasa penghentian sehingga 1.2G.

Di dalam, Akula dipasang dengan tempat duduk serta tali pinggang lumba, dan pelbagai lagi barangan termasuk roda stereng seperti LMP-1 dan sistem infotainmen skrin sesentuh. Hanya 20 unit sahaja yang akan dibuat, dan harganya di UK bermula dari £340,000 (RM1.8 million). Daripada jumlah 20 unit itu, 20% daripadanya telah pun disambar.

Pengerusi Ginetta, Lawrence Tomlinson berkata: “Konsep di sebalik Akula adalah untuk menghasilkan sesuatu yang betul-betul tersendiri, yang tidak boleh dibuat oleh jenama lain kerana kekangan korporat. Direka untuk membelah angin seperti jerung membelah air, kereta ini menunjukkan ia serius, dan saya bangga untuk mengeluarkan kereta seperti ini di UK.”

Sebagai bonus, pembeli Akula juga akan diberi pengenalan penuh kepada jenama Ginetta, serta hari istimewa di litar termasuk peluang bersama kereta lumba G58 yang dikuasakan oleh enjin V8 575 hp dan mempunyai berat cuma 940 kg.