Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan sebuah portal automotif bahawa kerajaan telah meluluskan 38 pemegang permit import kereta (AP) baharu. Timbalan Menteri Ong Kian Ming mengesahkan hal ini, laporan Malaysiakini.

Baru-baru ini, sebuah portal DS&F (Drive Safe and Fast) melaporkan, sumber daripada pemegang AP yang lama memaklumkan, terdapat 38 pemegang AP baharu di Malaysia. “Daripada apa yang kami temukan, kebanyakan pemegang 38 AP baharu telah mula bercakap dengan pemegang AP sedia ada untuk ‘membeli’ AP daripada mereka (pemegang permit import baharu) kerana mereka tidak berada dalam perniagaan kereta dan sebaliknya hanya mahukan bayaran sebanyak RM18,000 hingga RM22, 000 untuk (setiap) satu AP,” lapor portal terbabit.

Susulan daripada laporan berkenaan, Ong berkata, beliau sedang menyemak dengan bahagian AP di kementeriannya.

Dalam wawancara bersama BFM pada November lalu, Ong berkata kerajaan tidak merancang untuk menghapuskan sistem AP tetapi akan mengkaji semula untuk memastikan tidak berlaku penyalahgunaan.

“Tiada rancangan sekarang untuk menghapuskan sistem AP, saya rasa apa yang kami cuba lakukan sekarang adalah untuk mengkaji semula sistem ini supaya kamu tidak berhadapan keadaan di mana ‘perniagaan Ali Baba’ digunakan dalam proses AP, di mana orang hanya memohon AP ini supaya menjadi pemegang permit dan kemudian menjualnya kepada orang lain pada harga yang meningkat,” katanya menjelaskan proses itu disemak semula untuk memastikan pihak yang layak saja mendapat AP.

September lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun banyak perniagaan diberi peluang di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB), ramai yang telah menjual kontrak dan AP untuk keuntungan. Beliau berkata bahawa kerajaan akan membatalkan kontrak dan AP yang diberikan kepada perniagaan ini jika mereka menjualnya kepada pihak ketiga.