Hujung minggu ini Asia GT Festival akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, dan penganjurnya telah mengumumkan NiO EP9, iaitu sebuah hypercar elektrik pacuan semua roda yang mempunyai 1,341 hp juga akan membuat kemunculan. Kereta ini akan membuat pusingan hot lap membawa perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi 17 Mac, sebelum beliau melepaskan perlumbaan Saga Cup Malaysia Speed Festival (MSF).

“Semasa Asia GT Festival ini, anda dapat menyaksikan sendiri betapa mengujakan perlumbaan Malaysia Speed Festival. Lebih 210 buah kenderaan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini dan mereka semua berlumba berhabis-habisan untuk menang.” kata pengasas dan pengerusi MSF, Adian Yein.

Turut akan berlangsung hujung minggu ini adalah China GT Championship, di mana dua pelumba Malaysia iaitu Jazeman Jaafar dan Dominic Ang akan terlibat sama. Ini adalah tahun ketiga Dominic berlumba dalam China GT manakala bagi Jazeman, ia adalah penampilan pertama menggunakan jentera Bamboo Craft AMG GT.

“Saya sangat teruja dan berbangga dapat berlumba dengan antara pasukan GT Asia terbaik iaitu Craft-Bamboo Racing. Saya akan bergandingan dengan pemilik pasukan, Frank Yu, yang mempunyai banyak pengalaman dalam perlumbaan kereta sports. Saya tidak sabar untuk berjumpa dan memulakan kerja dengan pasukan, dan bertukar-tukar cara kerja masing-masing. Saya tidak sabar untuk berlumba di tempat sendiri!” kata Jazeman.

Perlumbaan China GT akan melibatkan 35 buah kereta GT, dan ini merupakan barisan GT single series yang terbesar di Asia Tenggara, melibatkan jentera seperti seperti Mercedes-AMG, Audi, Ferrari, Bentley, McLaren, Porsche, BMW dan pelbagai lagi.

Selain daripada perlumbaan itu sendiri, Asia GT Festival juga ada menganjurkan Bazar Selebriti, di mana selebriti tempatan seperti Joe Flizzow, Elly Raja Lawak, Linora Low, KTown Clan, dan ramai lagi akan membuka gerai untuk menjual barangan mereka.

Untuk peminat muzik pula, satu konsert mini melibatkan Joe Flizzow dan tujuh ahli 16 Baris akan membuat persembahan pada jam 6.30 petang 17 Mac. Pengunjung yang bercadang datang ke Litar Sepang semasa hujung minggu perlumbaan ini juga boleh menjangkakan pelbagai aktiviti mesra keluarga lain seperti rock climbing, flying fox, trak menjual makanan dan pelbagai lagi.

Asia GT Festival akan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac di Litar Antarabangsa Sepang dan tiket untuk tempat duduk Grandstand dijual pada harga RM20. Ia boleh dibeli secara atas talian ataupun terus sahaja di kaunter yang terdapat di Litar Sepang. Tiket untuk masuk ke paddock MSF pula adalah RM35.