Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

Sejak Geely mengambil alih Volvo 10 tahun dulu, ia telah menunjukkan perkembangan yang mengkagumkan dalam bidang automotif. Perkongsian teknologi telah memainkan peranan penting bagi pengeluar kenderaan dari China ini, dan model terbaru mereka, FY11 akan membawa manfaat daripada hubungan ini ke satu tahap baru.

Apa yang anda lihat ini adalah SUV coupe baru Geely, yang sekarang menggunakan nama kod FY11. Ia masih belum dijual secara rasmi lagi, tapi kami diberitahu ia dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) milik Volvo, yang juga digunakan untuk XC40.

Tidak banyak perincian yang ada tentang FY11 ini, tetapi ia diketahui akan menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 235 hp dan 350 Nm tork. Sama seperti XC40, FY11 juga akan ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda.

Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

Daripada aspek rekaan, bahagian hadapan FY11 mendapat versi gril kosmos Geely yang lebih kemas, dan juga mempunyai jalur krom di bawahnya untuk menghubungkan lampu kiri dan kanan. Perkara lain yang boleh dilihat adalah bukaan udara yang luas dan rendah di bawah serta garisan yang jelas di atas bonet. Model berwarna merah dan kelabu dalam gambar menggunakan rim 19 inci dua tona.

Bahagian belakang FY11 menampilkan lampu yang nipis, dengan grafik nyalaan yang mendapat inspirasi daripada kipas Cina – ini juga satu elemen penggayaan yang dapat ditemui pada Borui GE. Sama seperti depan, terdapat satu jalur krom panjang dari hujung ke hujung berserta tulisan Geely di tengah.

Di dalam, susun letak segala butang difokuskan kepada pemandu, dan terdapat roda stereng yang rata di bawah, serta panel instrumen digital. Panel pintu pula direka berasaskan seni tradisional lipatan kertas origami dan mempunyai jalur cahaya merah.

Pada bahagian tengah anda akan dapat melihat skrin infotainmen bersepadu besar yang menerapkan rekaan “sayap terbang” dan juga dicondongkan sedikit ke arah pemandu. Papan pemuka yang mempunyai dua lapisan ini juga mendapat kemasan jalur krom, dan apabila digabungkan dengan permukaan hitam matte pada bahagian lain, ia seakan menimbulkan visual tiga dimensi.

Pergi kepada konsol tengah pula, terdapat tombol gear yang besar seperti kapal terbang, serta pemegang tangan krom untuk penumpang. Tempat duduk FY11 mendapat inspirasi daripada tempat duduk bucket kereta lumba, tetapi dijadikan lebih kepada keselesaan. Apabila dilancarkan nanti, besar kemungkinan FY11 akan mempunyai pilihan sumber kuasa elektrik serta teknologi keselamatan aktif seperti Volvo.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required