Salah satu media sosial rasmi Hong Long Yamaha Motor (HLYM) nampaknya telah mengeluarkan satu teaser yang menampakkan sedikit sahaja bahagian hadapan sebuah motosikal. Sudah tentu, nama model tersebut tidak disebut, tapi ia kelihatan seperti Y15ZR.

Ramai yang sedang menunggu ketibaan Y15ZR versi baru, dipanggil sebagai V2, tapi sukar untuk membuktikannya melalui gambar teaser ini. Boleh saja ia menjadi cuma Y15ZR yang diberikan pilihan warna baru bagi tahun ini. Tetapi, ada satu pengedar yang menyebarkan teaser ini mengatakan ia adalah Y15ZR V2.

Kami juga tidak pasti kerana tidak mendapat undangan rasmi untuk majlis ini. Melalui teaser ini nampaknya HLYM mengajak terus semua orang untuk datang sendiri ke Jasin melihatnya. Minggu itu juga perlumbaan Cubprix berlangsung di Jasin.

Versi baru Y15ZR yang dipanggil ramai sebagai V2 telah dilancarkan di negara-negara jiran termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam, tapi di Malaysia ia masih belum ditawarkan lagi. Asas motosikal ini masih lagi sama seperti Y15ZR sekarang ini tetapi mempunyai sedikit perubahan.

Antaranya adalah bentuk lampu LED baru, fender lebih besar untuk memuatkan tayar yang juga lebih besar, meter LCD, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.

GALERI: Yamaha Y15ZR V2