Tak main-main kemaskini yang BMW buat untuk model X1 xDrive25Le yang akan ditunjuka ketika pameran Auto Shanghai nanti. Model plug-in hybrid berkenaan akan menerima pertambahan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya dengan kecekapan tenaga yang lebih baik.

Apa yang dimaksudkan ialah, versi terbaru ini nanti akan menggunakan bateri lithium-ion yang dipertingkat, memberikan pertambahan jarak sehingga 83%, dan dalam masa yang sama mengurangkan penggunaan minyak sehingga 72% menjadikannya pada kadar hanya 1.3 liter bagi setiap 100 km.

Model yang dipasang di kilang BMW Brilliance Automotive di Tiexi, Shenyang, China ini dilengkapi enjin 1.5 liter turbocaj tiga-silinder petrol dengan gandingan kotak gear Steptronic enam-kelajuan ke roda hadapan. Motor elektrik pula membantu roda belakang. Output sistem ini ialah 231 PS dan 382 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat.

BMW menyatakan, sel bateri yang diperkemas itu menggunakan nisbah 8:1:1 bagi nickel, cobalt dan manganese pada material anode. Jumlah nickel yang lebih memberikan pertambahan kuasa, sementara pengurangan dalam komponen cobalt bermaksud kurangnya penggunaan bahan nadir bumi yang diperlukan.

Perincian lain masih belum didedahkan, termasuklah gambar rasminya. Namun, jika berdasarkan model sebelum ini, baterinya berkapasiti 10.7 kWh; bateri baru ini tentunya akan lebih lagi. Saiz baterinya dijangka sama, cuma berat akan bertambah sebanyak 2.5 kg lagi.