Royal Enfield telah mendedahkan dua model baru mereka iaitu Bullet Trial Works Replica yang boleh didapati dalam versi 350 dan juga 500. Seperti yang anda boleh lihat daripada namanya, dua model baru ini menggunakan model Bullet sebagai asas tetapi diubah untuk mempunyai kemampuan offroad.

Perbezaan utama antara Bullet Trial ini dengan Bullet biasa adalah lampu hadapan, pemegang yang lebih tinggi, pelindung tayar yang lebih pendek, ekzos naik ke atas, tempat duduk dengan spring serta rak barangan yang menggantikan tempat duduk belakang.

Model Bullet Trial ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci di hadapan dengan tayar 90/90, rim 18 inci di belakang dengan tayar 110/80, tayar berbunga kasar, fork teleskopik 35 mm dengan jarak gerak 130 mm, dua penyerap hentak gas dengan jarak gerak 80 mm di belakang, tangki bahan api 13.5 liter serta brek cakera dengan sistem ABS two-channel.

Lain daripada itu, ia adalah sama dengan model Bullet biasa, bermaksud Bullet Trial 350 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok penyejukan udara 346 cc yang berkuasa 19.8 hp dan 28 Nm tork, manakala Bullet Trial 500 dikuasakan oleh enjin satu silinder penyejukan udara, suntikan bahan api 499 cc yang berkemampuan 27.2 hp dan 41.3 Nm tork. Kedua-duanya digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan.

Dua model istimewa ini dikeluarkan sebagai peringatan kepada model Royal Enfield tahun 40-an yang berjaya mencipta nama dalam perlumbaan offroad Six Days di Eropah dan dulu, ia adalah motosikal produksi pertama yang menggunakan suspensi dengan lengan ayun boleh gerak.

GALERI: Royal Enfield Bullet Trial Works Replica 500

GALERI: Royal Enfield Bullet Trial Works Replica 350