Semasa pelancaran 3 Series G20 baru hari ini, BMW Malaysia turut melakukan pra tonton istimewa Z4 G29. Model dengan bumbung boleh buka ini pertama kali didedahkan di persada global Ogos tahun lalu, dan varian yang ditunjukkan di Malaysia adalah M40i.

Ini adalah satu daripada tiga varian yang ada untuk Z4 G29, dengan dua yang selebihnya adalah sDrive20i dan sDrive30i. Z4 M40i dikuasakan oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol, dengan kuasa 340 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penggunaan petrol dalam kadar antara 7.4 liter hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.

Walaubagaimanapun, Malaysia tidak akan menerima varian M40i ini, sebaliknya yang akan dibawa adalah varian sDrive30i, yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan pengecas turbo twin-scroll, berkemampuan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Harga jangkaannya adalah sekitar RM460,000.

Transmisi untuk semua varian adalah sama, iaitu unit Steptronic lapan-kelajuan pacuan roda belakang dan setakat ini belum ada transmisi manual yang ditawarkan. Transmisi berkenaan mempunyai nisbah yang lebih luas, memberikan penukaran gear yang lebih sporty, namun varian M40i mempunyai kelebihan ciri Launch Control.

Antara kelengkapan standard yang ada pada Z4 G29 ini adalah termasuk casis serba baru, sambungan spring berkembar strut axle di depan, suspensi jenis five-link rear axle di belakang, Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC), Start-Off Assistant serta Fungsi Performance Control yang memberikan kawalan lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang.