Susulan kepada perkembangan pihak Singapura akan melarang kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak di republik itu daripada masuk semula ke sana, Bukit Aman memaklumkan setakat ini Malaysia tidak akan mengambil langkah yang sama.

Buat masa ini Bukit Aman akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan untuk melihat keperluan untuk menyeranai-hitamkan dan menghalang kenderaan asing yang ada saman tertunggak daripada memasuki negara ini, lapor The Star.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketika ini masih belum ada arahan daripada kerajaan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, untuk melaksanakan tindakan itu. “Operasi untuk mengesan pesalah trafik, termasuk yang dilakukan pemandu luar adalah seperti biasa yang dijalankan sebelum ini,” ujar beliau.

Mengulas tentang langkah baru yang diambil oleh Singapura, Puzi berkata itu hak negara tersebut untuk menlaksanakannya. Sebelum ini, pihak berkuasa Singapura memaklumkan, semua kenderaan dari luar yang masuk ke republik itu perlu mematuhi undang-undang di sana dan menjelaskan sebarang pembayaran saman lalu lintas yang tertunggak, sekiranya ada. Mereka yang enggan akan dilarang daripada memasuki Singapura.

Media Singapura melaporkan terdapat 50 kenderaan asing yang tidak dibenarkan masuk dan terkandas di Woodlands dan Tuas sejak peraturan ini dilaksanakan pada 1 April. Pihak berkuasa imigresen ICA memaklumkan semua mereka diminta untuk meletak kenderaan di kawasan khas sebelum diperiksa. Jadi, kalau anda rasa nak bawa kenderaan sendiri masuk ke Singapura, olek pastikan kenderaan anda tak ada saman tertunggak.