Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Dato’ Seri Syed Faisal Albar dalam satu sesi bersama media semalam mengesahkan Proton X70 versi pemasangan tempatan (CKD) ketika ini berjalan mengikut jadual. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, model CKD SUV pertama Proton itu dijangka akan diperkenalkan tahun ini, bagi menggantikan penawaran model CBU ketika ini.

“Kerja-kerja naik taraf dan persiapan di kilang Proton di Tanjung Malim untuk menampung pemasangan CKD X70 berjalan seperti dirancang dan hampir selesai. Selepas ini, ujian pemasangan kenderaan akan dilakukan serta memperkemaskan proses terlibat untuk memastikan kualiti berada pada tahap tertinggi. Begitu juga dengan untuk mempersiapkan vendor-vendor terlibat untuk tujuan ini,” ujar beliau.

Berkaitan kadar kandungan tempatan (local content) yang akan dilakukan terhadap X70 CKD nanti, tidak ada anggaran peratusan yang didedahkan. “Tetapi, ciri seperti sistem GKUI yang digunakan ketika ini antara perkara yang akan diberikan kemaskini dan disesuaikan untuk pengguna tempatan,” tambah beliau. Sebagai contoh, sistem peta yang menjadi sebahagian daripada sistem berkenaan pada X70 ketika ini menggunakan versi dari Baidu yang dibangunkan di China.

Ditanya berkaitan pelaburan yang dilakukan oleh DRB-Hicom ke atas Proton selepas Geely menjadi rakan strategiknya dan sama ada DRB-Hicom masih melakukan pelaburan ke dalam syarikat itu, Syed Faisal menjelaskan, bagi semua pelaburan ke atas Proton bersama Geely dilakukan dalam dua cara.

Pertama, berdasarkan peratusan pegangan saham dan kepentingan – iaitu melibatkan kedua-dua syarikat, DRB-HICOM dan Geely, dan cara kedua yang menjadi kaedah utama pelaburan ialah melalui pinjaman bank. Dalam maksud lain, kedua-dua syarikat berkepentingan berkenaan terlibat secara langsung dalam pelaburan untuk Proton. Berapa agaknya harga X70 CKD nanti?