Barisan model janaan elektrik keluaran Volkswagen yang menggunakan nama I.D. sekarang semakin bertambah, dan terbaru, SUV I.D. Roomz menyertai senarai ini dan diperkenalkan waktu acara Auto Shanghai 2019.

Ia boleh bergerak dengan tahap autonomous Level 4, dengan dijana oleh sepasang motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 306 PS yang datang daripada pek bateri 82 kWh dan boleh digunakan untuk jarak sehingga 450 km mengikut ukuran WLTP. Bateri SUV elektrik ini boleh dicas untuk mencapai tahap 80% dalam masa setengah jam melalui sumber kuasa DC 150 kW.

Melalui penggunaan sumber kuasa ini juga, I.D. Roomz boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat, sebelum mencapai laju maksimum yang dihadkan pada 180 km/j. Untuk mendapatkan sistem pemanduan autonomous Level 4, kenderaan ini perlu diletakkan dalam mod ID. Pilot dan setelah itu, pengguna juga boleh memusingkan semua tempat duduk 25 darjah ke dalam untuk berhadapan antara satu sama lain.

Mod pemanduan automatik penuh ini juga membenarkan pemandu untuk memasang mod ID. Pilot Relax, di mana penumpang boleh meletakkan tempat duduk dalam pelbagai posisi yang dimahukan, termasuk dibaringkan sepenuhnya. Setiap tempat duduk boleh dilaras secara berasingan.

Di hadapan pemandu, tiada papan pemuka seperti kereta biasa, sebaliknya ia menggunakan kokpit digital yang terdiri daripada panel kaca penuh di belakang stereng dan stereng itu sendiri juga dipasang dengan skrin digital untuk kawalan fungsi dan informasi tertentu.

Selain pemandu, penumpang juga boleh melihat informasi semasa kenderaan di beberapa bahagian sekitar kabin termasuk cermin hadapan, bahagian atas panel pintu, penjuru bumbung panoramik serta konsol bumbung yang juga boleh menghasilkan cahaya dan diubah mengikut mod susunan tempat duduk dan pemanduan.

Satu lagi ciri istimewa pada I.D. Roomz adalah bahagian dalamnya menggunakan fabrik daripada bahan asli kitar semula yang dipanggil sebagai AppleSkin. Ia terdiri daripada 50% sisa produk epal yang dikeringkan sehingga menjadi serbuk, dan dicampur dengan 50% polyurethane dan dipanaskan.

Beberapa bahagian dalam kabin kenderaan ini juga diwarnakan putih keemasan untuk melengkapi bentuk dan grafik dalam kenderaan itu, di mana gentian mikro digunakan pada lapik bumbung dan tiang sekelilingnya. Sifat menyerap cahaya pada gentian karbon ini membantu menjadikan penggunaan lampu lebih berkesan pada suasana keseluruhannya.