Toyota baru saja mendedahkan SUV Highlander generasi keempat di New York International Auto Show (NYIAS) 2019. Memuatkan tiga barisan tempat duduk, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan menurut Toyota, ia kini 60 mm lebih panjang dari sebelumnya, menyediakan ruang barangan yang lebih luas di belakang.

Dengan penggayaan yang lebih agresif, SUV ini menampilkan kelengkapan standard antaranya seperti lampu utama LED dalam rekaan yang lebih bersegi dan terpisah daripada rekaan gril. Jika dilihat dari sisi pula, ia masih mengekalkan bentuk keseluruhan yang sama dengan model generasi ketiga, tetapi dengan perincian rekaan yang berbeza.

Sebagai contoh, bahagian tiang A yang dihitamkan memberikan kesan ala bumbung terapung, sementara garis badan baru yang diberikan menjadikannya lebih sasa. Di belakang, SUV ini menggunakan rekaan yang sinonim ada pada SUV Lexus – unsur rekabentuk yang lebih tirus secara umumnya, serta lampu belakang dua bahagian.

Di dalam pula, perubahan yang dilakukan tidak terlalu ketara; corong udara lebih kecil dan tataletak butang kawalan yang lebih kemas diperkenalkan. Skrin sentuh untuk sistem infotainmen datang dalam dua pilihan saiz bergantung pada tingkat penawaran – lapan-inci atau 12.2-inci. Kelengkapan lain termasuk kerusi larasan elektrik, bumbung panoramik, pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik, sistem audio JBL dan lain-lain.

Ruang kargo yang tersedia ialah 456 liter dengan kerusi belakang ditegakkan (model lama hanya 391 liter). Untuk dapatkan kapasiti lebih luas, lipat kerusi barisan ketiga (menjadi 1,150 liter) manakala rebahkan semua kerusi penumpang untuk mendapatkan 2,076 liter. Pilihan untuk tujuh atau lapan-tempat duduk juga boleh dipilih.

Dari aspek keselamatan, Toyota Safety Sense 2.0 menggantikan pakej Tpypta Safety Sense P. Ia merangkumi ciri antaranya seperti Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beam (AHB), serta tambahan terbaru Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

Ada dua pilihan enjin disediakan, 3.5 liter V6 dengan 295 hp dan 356 Nm yang diganding bersma transmisi automatik lapan-kelajuan atau Highlander Hybrid yang menggunakan enjin 2.5 liter empat-silinder dengan dua motor elektrik. Janaan unit ini lebih rendah dengan 240 hp berbanding 306 hp bagi enjin sama sebelum ini, tetapi memberi kelebihan dari sudut penggunaan minyak dengan kadar 14.4 km/l berbanding 12 km/l.