Setelah berada dua tahun berada dalam pasaran, Kia kini memperkenalkan model edisi khas untuk kereta sport empat pintu mereka – Kia Stinger – digelar Stinger GTS. Didedahkan ketika berlangsungnya New York International Auto Show 2019, model yang dilengkapi pelbagai ciri istimewa tambahan ini hanya akan dihasilkan sebanyak 800 unit.

Model ini diasaskan dari versi paling berkuasa GT dengan enjin 3.3 liter V6 disuap pengecas turbo berkembar menghasilkan 365 hp dan tork maksima 510 Nm. Ia juga masih digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. Apa yang berbeza adalah, sistem pacuan semua roda pada model ini diterapkan dengan sistem yang dinamakan sebagai Dynamic AWD (D-AWD), yang turut menawarkan fungsi Drift Mode!

Menurut Kia, pembangunan sistem ini diselia sendiri oleh ketua R&D mereka iaitu Albert Biermann, yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M. Sistem D-AWD berkenaan dibina dengan lebih DNA pacuan roda belakang bagi mendekatkan jarak karekter antara model pacuan belakang sepenuhnya dan juga versi pacuan semua roda Stinger GT.

LSD jenis mekanikal telah dipadankan pada gandar belakang sistem D-AWD berkenaan, kemudian mod pemanduan akan menala semula agihan tork antara roda hadapan dan belakang – mod Sport menerima 80% tork ke belakang, mod Comfort akan menerima 60% tork ke belakang untuk lebih stabil, manakala mod Drift akan memindahkan tork 100% hanya ke gandar belakang dan turut akan menahan gear rendah lebih lama.

Model istimewa ini juga menerima rupa yang lebih tersendiri bagi membezakan ia dengan versi standard. Kia memberikan warna badan Premium Orange, sama seperti model konsep Kia Stinger GT Federation yang muncul di SEMA 2017. Kemudian, ia diberi kemasan-kemasan dari gentian karbon untuk gril “hidung harimau” hadapan, cermin sisi dan juga liang sisi. Emblem GTS ditampal pada but belakang bagi memberi amaran ia bukanlah sebuah model Stinger biasa.

Kabin Stinger GTS ini turut disentuh semula dengan roda stereng dan konsol tengah dibalut dengan Alcantara, manakala pelapik bumbung pula menerima material Chamude 4 yang kelihatan seperti fabrik sued premium. Ciri lain yang turut diberikan termasuk bumbung suria, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta sistem audio Harmann Kardon 6 720-watt.

Model edisi terhad Kia Stinger GTS ini akan dijual pada harga US$46,500 (RM192k) untuk model D-AWD. Versi pacuan belakang sepenuhnya juga ditawarkan dengan harga sedikit murah iaitu US$44,000 (RM182k).