BMW Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan dua lagi penawaran terbaru bagi model 5 Series G30 untuk pasaran tempatan melalui BMW 530e M Sport dan BMW 520i Luxury terbaru.

Bagi BMW 530e M Sport, ia dijual pada harga RM338,800 (atas jalan tanpa insurans). Merupakan sedan plug-in hybrid dengan teknologi eDrive serta hadir bersama kelengkapan dan penawaran yang tersendiri dalam kelasnya, model ini datang dengan enjin 2.0L BMW Twin Turbo yang dibantu oleh motor elektrik. Output keseluruhan sistem ialah sebanyak 252 hp dan 420 Nm tork.

Ini memberikan kemampuan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.2 saat, serta kelajuan maksimum pada 235 km/j. Kadar penggunaan bahan api pula adalah sekitar 2.3l bagi setiap 100 km dengan kadar pembebasan sisa pembakaran serendah 53 g/km.

Bagi ciri-ciri keselamatan juga sangat mengkagumkan; Dynamic Stability Control (DSC), Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist (BA). Selain itu, bantuan untuk pemandu juga disediakan, diwakili oleh ciri-ciri seperti Lane Departure and Change Warning, Forward Collision Warning, Parking Assistant serta Cruise Control.

Bahagian dalamannya pula dilengkapi antaranya dengan sistem BMW ConnectedDrive yang boleh dikendalikan melalui skrin paparan digital 12.3-inci pada kluster instrumen pemandu. Selain itu sistem tunjuk aras profesional turut ditunjukkan pada skrin 10.25-inci di tengah.

Bagi BMW 520i Luxury pula, ia dijual pada harga RM328,800 (atas jalan tanpa insurans). Menggunakan enjin 2.0L TwinTurbo empat-silinder sebaris, ia mampu menghasilkan sebanyak 184 hp dan 290 Nm tork. Sedan ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat dengan kelajuan maksimum pada 235 km/j. Kadar penggunaan minyaknya pula ialah 6.2 l/100 km dengan pembebasan sisa pembakaran Co2 sebanyak 141 g/km.

Bagi ciri keselamatan dan kelengkapan lainnya, ia menawarkan senarai yang sama seperti pada BMW 530e M Sport. Bagi rekaan luaran, model ini menampilkan rekaan kidney grille yang sinonim dengan BMW, lampu utama dan lampu kabus LED, rim aloi 18-inci dengan tayar run-flat serta kemasan krom sebagai penyeri pada bampar depan serta belakang.

Kedua-dua sedan ini juga ditawarkan dengan pakej pemilikan premium BMW Malaysia, yang merangkumi antaranya jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta program servis jadual berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun, bantuan tepi jalan BMW serta aplikasi pintar BMW Group Loyalty+ dan BMW White Card.

BMW G30 520i Luxury

BMW G30 530e M Sport