Hujung minggu lalu, Proton melakarkan lagi sejarah dengan bertukar dokumen bersama dua rakan perniagaan ]yang akan mendorong pembangunan masa depan syarikat pengeluar kereta nasional pertama ini. Pertukaran dokumen yang pertama ialah Perjanjian Perlesenan dan Bantuan Teknikal (LTAA) dengan syarikat dari Pakistan, ALHAJ Automobile (ALHAJ, bagi membina sebuah kilang pembuatan kereta Proton di Karachi untuk pasaran negara berkenaan. Manakala pertukaran yang kedua merupakan kemudahan perbankan yang ditawarkan oleh China Construction Bank (CCB) yang bernilai RM1.88b.

Majlis Pertukaran dokumen ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Beijing yang turut berada di negara berkenaan bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa. Perdana Menteri turut hadir sesi dialog dengan pembekal-pembekal komponen bersama Pengerusi Geely Holding Group, Li Shufu, Pengerusi Proton, Dato’ Seri Syed Faisal Albar, Daniel Li Donghui, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely Holding Group serta ahli lembaga Proton, Shaharul Farez Hassan.

Bagi kerjasama dengan ALHAJ Automotive (ALHAJ), ia adalah susulan daripada upacara simbolik pecah tanah yang telah diadakan di Islamabad pada bulan Mac lalu, LTAA mengikat perjanjian untuk Proton dan ALHAJ bagi membina sebuah kilang pengeluaran CKD baharu untuk memasang dan mengedarkan kereta-kereta Proton di Pakistan.

Bakal dibina di Karachi iaitu di satu tapak Greenfield dengan pelaburan awal sebanyak USD30 juta, kilang baharu ini akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tiga tahun pertama operasinya dan anggaran sebanyak 20,000 pekerjaan tidak langsung untuk industri-industri sokongan lain.

Manakala kerjasama dengan syarikat dari China pula, ia melibatkan dana peruntukan untuk membiayai pelan pengembangan perniagaan PROTON pada masa hadapan kerana Syarikat berusaha mencapai matlamatnya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027.

“Pertukaran dokumen antara Proton dan rakan-rakannya, ALHAJ dan CCB, adalah langkah penting dalam usaha Proton untuk mencapai matlamat jangka panjangnya. Pengembangan ke lebih banyak pasaran asing adalah kritikal untuk pertumbuhan jualan sambil memperoleh pembiayaan membolehkan Syarikat melabur dalam banyak projek yang diperlukan untuk menjadikan Proton jenama automotif peringkat global,” kata Dato’ Seri Syed Faisal Albar.