Google telah mengumumkan akan memperkenalkan versi kemas kini bagi Android Auto, dan mendakwa ia bakal menawarkan antara muka (interface) yang lebih intuitif bagi lebih memudahkan pengguna mengakses maklumat dan menggunakan fungsi lain.

Perubahan terbesar yang dilakukan setakat ini ialah bar navigasi baharu pada bahagian bawah paparan, yang menggantikan butang putih statik pada antara muka semasa. Bar navigasi tersebut tersebut membolehkan aplikasi tertentu menggunakan seksyen tersendiri untuk fungsinya, jadi pengguna tidak perlu menukar antara aplikasi seperti sebelum ini.

Sebagai contohnya, anda menggunakan aplikasi Spotify dan Google Maps dalam masa yang sama. Sebelum ini, kalau nak mainkan lagu yang seterusnya, anda perlu menekan ikon “headphone” pada bahagian bawah untuk mengakses Spotify sebelum memilih butang “forward”.

Tetapi dengan antara muka baharu ini, bar navigasi akan menampilkan kawalan media untuk Spotify iaitu di antara paparan map penuh, jadi tak perlulah anda menukar aplikasi. Bar navigasi tersebut juga boleh dilihat pada butang “home” yang terletak pada sebelah kiri, berbanding di tengah, dan kini ia juga boleh menyenaraikan aplikasi yang ada.

Turut ditampilkan ialah butang notifikasi yang memaparkan panggilan, mesej dan makluman semasa. Butang tersebut terletak di sebelah butang Google Assistant, yang kini berada di bahagian bawah kanan berbanding atas kanan seperti sebelum ini.

Lain-lain perubahan termasuklah tema gelap baharu dengan kemasan berwarna-warni, saiz huruf yang lebih mudah dibaca, selain sokongan untuk sistem infotainmen dengan menggunakan paparan skrin yang lebih lebar, yang membolehkan lebih banyak informasi dipaparkan.